Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) sekali lagi diiktiraf di peringkat global apabila dinobatkan sebagai Pemenang Kru Kabin Terbaik Asia 2025 di anugerah berprestij Anugerah Pelancongan Dunia (WTA).
Ini merupakan kali keempat sejak tahun 2020 RB menerima pengiktirafan tersebut, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam kecemerlangan perkhidmatan di rantau ini.
RB dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini mengongsikan, anugerah tersebut mengiktiraf dedikasi dan perkhidmatan cemerlang kru kabin RB yang sentiasa memberikan layanan mesra Brunei, sambil memastikan setiap perjalanan adalah selamat dan tidak dapat dilupakan.
WTA tersebut secara meluas dianggap sebagai penanda aras kecemerlangan dalam industri pelancongan dan pelancongan antarabangsa, dengan memberi tumpuan kepada organisasi yang menetapkan standard tertinggi dalam bidang masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid berkata, “kami amat berbangga dengan pencapaian luar biasa kru kabin kami, yang mencerminkan bukan sahaja standard perkhidmatan bertaraf dunia mereka tetapi juga semangat tulus dalam menjaga kesejahteraan para penumpang kami.”


Beliau menambah, “Mereka ialah duta hospitaliti Brunei yang sentiasa memberikan perkhidmatan yang cemerlang dengan kehangatan dan profesionalisme. Dedikasi dan keprihatinan mereka dalam memastikan perjalanan yang selamat dan selesa menjadikan kami berbeza dan benar-benar mencerminkan semangat RB.
“Pengiktirafan ini adalah bukti komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan,” jelasnya.
Sebagai tambahan kepada pencapaian bersejarah itu, RB turut menerima Anugerah Jenama Halal (HBA) ASEAN 2025, sekali gus menandakan kemenangan pertama syarikat penerbangan itu dalam pengiktirafan serantau yang berprestij ini. Anugerah tersebut meraikan jenama-jenama terkemuka yang menonjol dalam kecemerlangan Halal, kemampanan dan kepimpinan jenama di seluruh ASEAN. Melihat kepada pencapaian yang diraih itu, Kapten Sabirin mengongsikan, RB berbesar hati menerima HBA ASEAN 2025 buat kali pertama.
“Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen kami yang teguh dalam menegakkan nilai dan piawaian Halal di semua aspek operasi kami dan bagi memastikan setiap penumpang merasai keaslian, keprihatinan dan integriti yang menjadi teras hospitaliti Brunei,” tambahnya.
HBA ASEAN itu dianjurkan oleh Jawatankuasa HBA ASEAN dan Audience Analytics iaitu sebuah syarikat pemilik media B2B terkemuka di Asia Tenggara yang berada di belakang jenama-jenama terkenal seperti SME Magazine, HR Asia, Capital Asia, Energy Asia, Customer Experience Asia, dan TruthTV.
Majlis penyampaian anugerah tersebut telah berlangsung semasa Majlis Makan Malam Gala dan Penyampaian Anugerah SME100 ASEAN kelmarin, di One World Hotel, Petaling Jaya, Malaysia.
Pengiktirafan berganda yang diterima oleh RB, iaitu di WTA dan HBA ASEAN 2025, menyerlahkan kecemerlangan berterusan RB dalam perkhidmatan dan komitmennya terhadap nilai-nilai yang mencerminkan hospitaliti Brunei dan integriti Halal. Ia juga mengukuhkan dedikasi RB sebagai syarikat penerbangan kebangsaan yang dipercayai dan disegani bagi mewakili Brunei Darussalam di persada antarabangsa.
Anugerah tersebut menyusuli beberapa pencapaian lain yang turut membanggakan, termasuk pengiktirafan RB di Anugerah APEX untuk Perkhidmatan Kabin dan Makanan & Minuman Terbaik Asia Timur 2025, yang seterusnya menegaskan konsistensi syarikat penerbangan ini dalam menyampaikan perkhidmatan bertaraf dunia dengan keikhlasan hati. Dengan inovasi yang akan datang seperti penambahbaikan sambungan internat dalam pesawat bagi armada A320neo, RB terus melabur untuk meningkatkan pengalaman penumpang, sama ada semasa dalam penerbangan mahupun di luar pesawat. RB turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penumpang setia, rakan-rakan kongsi serta seluruh warga kerjanya atas sokongan yang tidak putus-putus.

