Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Dalam usaha untuk memenuhi keperluan dan kehendak permintaan perniagaan masa kini yang mendesak, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah melakukan pelbagai penambahbaikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan mentransformasikan perniagaannya untuk meningkatkan perkhidmatannya, prestasi, produk dan sebagainya bagi mendepani pelbagai cabaran perniagaan dari semasa ke semasa.
Ketua Pegawai Eksekutif RB, Karam Chand dalam temu bual eksklusif bersama pihak Media Permata baru-baru ini telah menyatakan bahawa pengenalan kapal terbang A320neo yang telah dirasmikan baru-baru ini adalah sebahagian daripada program pemodenan untuk membuka fasa baharu dalam meneruskan pertumbuhan wilayah serantau.
Kelebihan yang ada pada A320neo turut membantu mengurangkan kos operasi dan kos penyelenggaraan RB yang mampu menjimatkan 15 peratus penggunaan minyak yang secara tidak langsung membolehkannya untuk terbang lebih jauh lagi secara langsung selain berjaya mengurangkan pencemaran alam sekitar dan bunyi bisingnya.
Tambahnya lagi, kapal terbang terbaharu itu memiliki ciri istimewa yang tidak dijangka sama sekali oleh para penumpang lebih-lebih lagi dari segi hiburan yang disediakan, selain memberikan keselesaan tempat duduk serta penambahbaikan sistem pencahayaan dan sebagainya adalah antara yang diberikan pujian dan dikatakan sebagai yang terbaik dalam kelasnya dan mendapat lima bintang bagi perkhidmatan serantau.
Bagi memberi perkhidmatan cemerlang, RB juga mengadakan latihan kepimpinan dan pelbagai latihan pengurusan pelatih kepada para pegawai atasan dan pegawai eksekutif serta ketua-ketua pegawainya bagi menyahut seruan transformasi syarikat berkenaan yang mana turut menunjukkan kesan yang positif yang menyaksikan majoriti kepimpinan di RB adalah rakyat tempatan yang berdedikasi dan produktif.

Sebagai sebuah syarikat penerbangan kebangsaan negara, RB turut memainkan peranannya yang signifikan untuk mempromosikan lagi pelancongan di negara ini ke mata dunia dengan pengumuman penerbangan tanpa henti ke London dari Brunei yang dijadualkan bermula pada penghujung Oktober dan pengenalan rangkaian laluan ke Nanning, Hangzhou dan Taipei.
Selain itu perkhidmatan ke Haikou sebanyak dua kali seminggu yang akan bermula pada hujung Oktober dan penerbangan dua kali seminggu ke Changsha bermula Disember ini, selain penerbangan ke Tokyo-Narita bermula Mac 2019.
Dengan penambahan rangkaian penerbangan, Karam Chand berkata ia bukan sahaja baik bagi Syarikat RB namun ia juga dapat membantu meningkatkan ekonomi negara melalui industri pelancongan yang dijangka akan dapat membawa lebih banyak pelancong dari luar negara untuk berkunjung ke negara ini dengan lebih mudah daripada sebelumnya dengan adanya penambahan rangkaian penerbangan berkenaan.
RB akan berusaha untuk membuka dan mendedahkan keindahan yang terdapat di Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan negara ini lebih terbuka dan dikenali sebagai sebuah destinasi pelancongan yang tidak kurang menariknya berbanding negara lainnya.
RB juga akan menggunakan kempen digital melalui media sosial untuk mempromosikan pelancongan di Brunei dan memberi pendedahan kepada orang di luar sana mengenai keindahan negara, kekayaan budaya di negara ini, kesederhanaannya, dan segala yang ditawarkan serta boleh didapati di negara ini selain daripada keamanan, kebersihan dan kesederhanaannya yang hampir tidak dapat dirasakan di mana-mana tempat lainnya.
Selain itu penerbangan tanpa henti berkenaan turut memudahkan para pelancong dari negara-negara Eropah lainnya selain sudah semestinya memberikan kelebihan kepada RB apabila dapat mengurangkan pengambilan masa perjalanan dari destinasi antara Brunei ke London yang sudah semestinya menjadi tarikan kepada para pelanggan lainnya dari seluruh dunia.
Ketika menyentuh mengenai persaingan antarabangsa, beliau menyatakan bahawa perniagaan di peringkat domestik sudah semestinya berbeza dengan persaingan perniagaan yang dihadapi oleh RB yang mana perlu bersaing dengan pesaing dari syarikat penerbangan lain dari seluruh dunia, oleh itu RB perlu berusaha lebih gigih untuk memastikan RB mampu bersaing bersama syarikat penerbangan lainnya.
Sebagai contoh dalam sektor penerbangan antara Melbourne ke London, sudah semestinya banyak syarikat penerbangan yang menawarkan penerbangan antara kedua buah kota berkenaan selain RB, oleh itu ia memerlukan orang-orang penuh kepakaran, berpengetahuan tinggi dan berpengalaman untuk menerajui RB bersaing bersama dalam persaingan antarabangsa.