Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JUN – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) dan Tourism Malaysia hari ini mengumumkan kerjasama bagi pakej promosi percutian ke Malaysia iaitu Hello Kawan ke Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.
Pakej berkenaan telah diumumkan semasa sidang media di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, yang dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama, Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid, dan Pengarah Tourism Malaysia, Hazrina Azman.
Menurut RB, pakej berkenaan akan menawarkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada pelancong dengan menggabungkan perkhidmatan RB dengan hotel ternama di Malaysia. Kapten Sabirin menjelaskan, “Dengan hampir lima dekad di bawah sayap RB, Malaysia sentiasa menjadi salah satu destinasi popular untuk rakyat Brunei. Justeru, kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk menyediakan pelanggan kami pakej yang komprehensif dengan menampilkan perjalanan dan pengalaman yang luar biasa.
“Dengan hospitaliti RB yang terkenal, digabungkan dengan pelbagai tarikan dan layanan mesra Malaysia, pelanggan kami boleh menjangkakan perjalanan yang tidak dapat dilupakan dan tanpa kerumitan,” tambah beliau.
Kerjasama antara RB dan Tourism Malaysia bukan sahaja tertumpu kepada tawaran perjalanan yang menarik tetapi juga bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara Brunei dan Malaysia.
Manakala itu, Hazrina pula menjelaskan, “Kempen Hello Kawan adalah perkongsian yang menunjukkan komitmen kami untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dengan rakan sejawat kami untuk memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan dan teratas dalam pasaran ini.
“Dalam usaha untuk mengalu-alukan kedatangan 1.1 juta pelancong dari Negara Brunei Darussalam tahun ini, kempen ini berharap dapat menarik minat rakyat Brunei untuk meneroka lebih banyak kawasan Malaysia.
“Ia juga menunjukkan bahawa kami bersedia untuk membawa lebih ramai pelancong dan mencapai sasaran kami untuk mengalu-alukan 16.1 juta pelancong antarabangsa bagi tahun ini. Pada 2022, Malaysia merekodkan 301,757 ketibaan pelancong Brunei, sekali gus mencerminkan permintaan terpendam yang kukuh dalam pasca wabak, kerana Brunei Darussalam merupakan salah satu pasaran penting bagi industri pelancongan Malaysia,” tambahnya. Menurut beliau lagi, walaupun terdapat pelbagai inisiatif sedang dijalankan oleh kerajaan Malaysia untuk memulihkan sektor pelancongan selepas COVID-19, usaha terbaharu yang dimulakan oleh RB dan Tourism Malaysia itu akan memacu lebih ramai pelancong Brunei untuk mengunjungi Malaysia.
Pakej Hello Kawan boleh didapati melalui agensi-agensi pelancongan yang menyertai kempen berkenaan. Sidang media berkenaan diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada empat orang pemenang Kuiz RB X Sarawak RWMF Social Media.
Para pemenang masing-masing membawa pulang dua tiket penerbangan ke Kuching bagi menyaksikan persembahan Pesta Rainforest World Music yang akan berlangsung pada 23 hingga 25 Jun depan. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif RB yang juga telah menandatangani poster kenang-kenangan kempen Pakej Hello Kawan.