Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) dan Tourism Malaysia mengumumkan pakej Hello Kawan 2024 yang bermatlamat untuk mempromosikan pakej-pakej percutian menarik di bandar-bandar raya Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.
Pakej itu menawarkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada para pelacong dengan menggabungkan penerbangan yang terkenal di dunia, RB dengan penginapan hotel-hotel terkenal di pelbagai bandar raya di Malaysia.
Sehubungan itu, pelancaran kempen Hello Kawan 2024 telah disempurnakan bersama oleh Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin Haji Abdul Hamid dan Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Brunei Darussalam, Roshdi Abdul Ghani dalam majlis yang berlangsung di Kampus RB, hari ini.
Dalam ucapan alu-aluannya, Roshdi berkata kempen itu merupakan kerjasama yang lebih erat dengan rakan-rakan sejawat untuk memastikan Malaysia kekal menjadi destinasi pilihan pelancong.
Dengan menyasarkan kedatangan seramai 1.345 juta orang pelancong dari Brunei bagi 2024, kempen itu diharap dapat menarik lebih ramai warga Brunei untuk meneroka Malaysia. Ia juga merupakan inisiatif untuk mencapai sasaran mengalu-alukan 27.3 juta pelancongan antarabangsa bagi 2024.
Sementara itu, Kapten Sabirin berkata bahawa memandangkan Malaysia adalah negara jiran yang rapat dan menjadi destinasi pilihan warga Brunei, maka kolaborasi berkenaan dapat memastikan pelancong disediakan dengan pakej komprehensif yang mengutamakan perjalanan yang selamat dan lancar dengan pengalaman yang luar biasa ke pelbagai bandar raya Malaysia.
Beliau turut menekankan bahawa pelancong dapat mengelak barisan panjang di sempadan darat.
Dengan gabungan antara hospitaliti terkemuka oleh kru kabin RB dan pelbagai tarikan dari Malaysia, pelancong akan mendapat pengalaman percutian diingati selalu dan dipermudahkan menerusi kolaborasi itu, jelas Kapten Sabirin lagi.
Pakej-pakej Hello Kawan boleh didapati di agensi-agensi pelancongan yang mengambil bahagian iaitu Anthony Tours & Travel, Darussalam Services Sdn Bhd, Freme Travel Services, JJ Tour Service Sdn Bhd, Pan Bright Travel Services, Southern Cross Travel Agencies dan Straits Central Agencies (B) Sdn Bhd.