Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah melancarkan lambang RB50 pada Boeing 787 Dreamliner (V8-DLA) di Hangar 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei hari ini, yang mana ini adalah bagi memperingati legasi 50 tahun syarikat penerbangan itu menghubungkan Brunei dengan dunia.
Pelancaran lambang RB50 itu adalah sebahagian daripada sambutan ‘Penerbangan ke 50’ RB, yang akan berakhir pada 18 November, iaitu ulang tahun keemasan syarikat penerbangan itu.
Penerbangan pertama lambang RB50 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ke Hong Kong, hari ini, pada pukul 10:30 pagi dan secara rasmi menandakan permulaan ulang tahun ke-50 RB.
Semasa majlis perasmian itu, Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid, telah berkongsi kegembiraan untuk peristiwa penting dalam sejarah syarikat penerbangan itu.
“Selain mengucapkan rasa syukur, dengan pelancaran lambang RB50 pada Boeing 787 Dreamliner yang bukan sekadar perayaan masa lalu kami, tetapi ianya juga simbol komitmen kami terhadap masa depan.
“Selama 50 tahun, RB telah memainkan peranan penting dalam menghubungkan Brunei dengan selamat,” jelasnya.
Beliau turut merasa teruja melihat pesawat yang mewakili RB di persada dunia untuk menjemput penumpang, pihak berkepentingan, rakan kongsi dan masyarakat Brunei bagi menyertai perjalanan yang menarik dalam tempoh 50 tahun akan datang.
Lambang RB50 adalah penghormatan kepada lima dekad RB dalam kecemerlangan dan rekod keselamatan penerbangan.
Ia direka bentuk secara dalaman dan digunakan oleh pasukan kejuruteraan RB dan pada tahun hadapan, ianya akan dipamerkan di seluruh armada RB semasa ia memulakan penerbangan ke destinasi serantau dan antarabangsa.
Selepas penerbangan sulung ke Hong Kong, RB50 Dreamliner akan menjadi simbol perjalanan jubli emas RB kerana ia terus berkhidmat sebagai duta Brunei di langit.