Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Lebih 90 mangkuk bubur lambuk telah diagihkan oleh Royal Brunei Culinary (RBC) kepada pekerja barisan hadapan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) sebagai tanda menghargai pengorbanan dan jasa mereka dalam memerangi wabak di hospital berkenaan semasa bulan Ramadan, kelmarin.
Bubur lambuk berkenaan telah diagihkan oleh kakitangan RBC kepada jabatan-jabatan di Hospital RIPAS yang diserahkan secara peribadi kepada petugas barisan hadapan.
Selain itu, RBC juga meneruskan pengagihan bubur lambuk kepada pesakit berserta ahli keluarga mereka di Jerudong Park Medical Centre (JPMC), hari ini.
Aktiviti berkebajikan tersebut diharap akan dapat menunjukkan pengiktirafan RBC terhadap peranan penting yang dimainkan oleh pekerja barisan hadapan semasa wabak COVID-19 ini.
Pengagihan bubur lambuk di JPMC dilakukan setiap Jumaat sepanjang bulan Ramadan di bawah RBC Institutional Catering.
Acara tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat RBC untuk memberikan kembali kepada masyarakat selain untuk memupuk semangat berkongsi dan bersedekah.