Wednesday, March 26, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    RBC hargai ahli jawatankuasa Halal RBC, HACCP

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Kulinari Diraja Brunei (RBC) hari ini mengadakan Hari Penghargaan Halal dan HACCP dengan menyampaikan sijil penghargaan kepada 23 orang ahli Jawatankuasa Halal RBC dan 27 orang ahli Jawatankuasa HACCP bertempat di RBC Central Kitchen, Lambak.

    Hadir pada majlis berkenaan ialah Pengurus Besar RBC, Haji Jeff Hadiman bin Dato Paduka Haji Danial. Turut hadir ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah RBC, wakil dari Darussalam Assets Sdn Bhd, pengurusan RBC, dan ahli-ahli jawatankuasa HACCP dan Halal RBC.

    Dalam ucapan pembukaan, Haji Jeff Hadiman menyatakan, “Dari hari pertama permulaan operasi RBC Central Kitchen, kami sentiasa berhasrat untuk mendapatkan akreditasi dengan pensijilan HACCP. Dan untuk melakukannya bukanlah mudah. Walaupun kami telah mendapat pensijilan Airline Kitchen HACCP pada masa lalu, Central Kitchen jauh lebih besar saiznya dengan lebih banyak proses dalam operasi hariannya.”

    Haji Jeff Hadiman turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Halal RBC dalam pencapaian mereka mendapat pensijilan Halal RBC Central Kitchen setelah melengkapkan semua syarat oleh Majlis Ugama Islam Brunei.

    RBC Central Kitchen telah berjaya menjalani beberapa pemeriksaan Halal ke atas semua ramuan, produk dan prosesnya.

    Pengurus Besar RBC menyampaikan ucapan.

    Proses untuk mendapatkan pensijilan Halal adalah sangat terperinci dan sangat teliti, justeru RBC amat bertuah kerana turut mempunyai Jawatankuasa Halal bagi memastikan dan RBC komited untuk memberi jaminan kepada pengguna bahawa makanan yang mereka sediakan adalah selamat dan halal.

    Beliau juga turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada ahli jawatankuasa HACCP dan Halal RBC atas kerja keras dan dedikasi mereka untuk mencapai pensijilan berkenaan.

    Majlis seterusnya menyaksikan penyampaian sijil kepada wakil-wakil dari HACCP dan Halal RBC. Hadir menerima sijil bagi wakil ahli Jawatankuasa HACCP ialah Ong Pei Ying yang disampaikan oleh Pengerusi RBC, Haji Sofian bin Haji Mohammad Jani.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada wakil ahli Jawatankuasa Halal RBC, Dayangku Nurzahidah Fikriah binti Pengiran Suhaili yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi RBC, Awang Mohammad Yusree bin Haji Junaidi.

    Semasa majlis itu, Ong Pei Ying telah menyampaikan pembentangan tentang apa itu HACCP dan pensijilan Halal serta proses mendapatkan pensijilan.

    Pada penghujung majlis, lawatan ke tapak Central Kitchen telah dikendalikan oleh Pengurus Pengeluaran RBC, Cef Mark merangkap Cef Eksekutif.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda