Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Dalam usaha untuk merevolusikan strategi pengurusan sisa dan menekankan kemapanan dalam komuniti pertanian, Royal Brunei Culinary (RBC) secara rasminya telah bekerjasama dengan Biofield Solutions.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh RBC, di sini, perjanjian kerjasama antara RBC dan Biofield Solutions telah dimeterai pada 15 Disember lalu di mana menandatangani bagi pihak RBC ialah Pengurus Kanan, Alvin Voon dan Biofield Solutions diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Vanessa Teo.
Kerjasama strategik itu menandakan langkah signifikan ke arah memupuk amalan peka eko dalam industri kulinari. Di tengah-tengah kolaborasi berkenaan adalah usaha bersepadu untuk memperkenalkan sistem pengasingan sisa inovatif di Dapur Pusat RBC (RBC Central Kitchen).
Inisiatif berkenaan bermatlamat untuk mengubah sisa organik dan bukan organik kepada baja berkualiti tinggi dan pada masa yang sama menyumbang kepada penjanaan amalan pertanian mampan di Brunei.
