LOS ANGELES, 2 JUN – Royal Bank Canada (RBC) telah menamatkan tajaannya untuk pemain golf, Dustin Johnson dan Graeme McDowell selepas mereka terlibat dalam perlawanan pertama di bawah kendalian Saudi, acara Siri Jemputan Golf LIV di England, kelmarin.
Pertandingan golf tersebut akan bermula pada 9 Jun ini di England, hari yang sama dengan Terbuka Kanada RBC di Toronto diadakan.
Sehari selepas Terbuka RBC mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa mereka kecewa dengan bekas pemain nombor satu dunia, Johnson yang membuat keputusan untuk beraksi di padang LIV. Sementara itu, RBC sendiri telah mengesahkan bahawa mereka telah memutuskan hubungan dengan Johnson dan juara Terbuka AS 2010, McDowell.
“Hasil daripada keputusan yang dibuat oleh pemain golf profesional tersebut, Dustin Johnson dan Graeme McDowell untuk bermain dalam perlawanan pembukaan Siri Jemputan Golf LIV, RBC telah menamatkan perjanjian penajaannya dengan kedua-dua pemain,” kata RBC dalam kenyataan yang dikeluarkan itu, sambil menambah mereka mendoakan kejayaan dalam usaha masa hadapan mereka. – AFP
