Oleh Daniel Lim
BELAIT, 29 JULAI – Dalam usaha menceriakan dan membantu penghuni Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam Daerah Belait, Kelab Rotary Belait (RCB) baru-baru ini mengadakan lawatan ke pusat tersebut.
Rombongan RCB diketuai oleh presidennya, Henrietta Hiew dan dialu-alukan oleh Pengurus Pusat Ehsan Daerah Belait, Dayang Hamimah binti Sapar.
Lawatan bertujuan memahami keperluan dan penjagaan kanak-kanak istimewa dan juga menghulurkan sumbangan dan sokongan bersesuaian kepada pusat tersebut. Ia merupakan komitmen berterusan projek komuniti kelab itu.
Semasa lawatan, ahli RCB bukan sahaja bertemu dan meluangkan masa bersama penghuni, malah pelatih kecergasan dari NEM Fitness juga hadir untuk sesi zumba bersama kanak-kanak istimewa ini bersama ahli dan rakan RCB.
Penghuni dan warga pusat itu juga menikmati jamuan ringan disediakan oleh Brotherhood Seafood Paradise dan mendapat cenderahati serta pastri sumbangan rakan RCB.
