Oleh Daniel Lim
BELAIT, 27 OKT – Ahli Kelab Rotary Belait (RCB) dan beberapa sukarelawan telah mengadakan satu majlis makan tengah hari di Plutoice Bakehouse, Kuala Belait kelmarin untuk meraikan kejayaan menganjurkan kempen derma darah baru-baru ini.
Patricia Bong selaku presiden RCB menyambut para hadirin dan merakamkan ucapan terima kasih bagi pihak kelab apabila lebih daripada 70 pengunjung menghadiri kempen yang diadakan sebelum ini dan antara mereka, 58 orang layak menderma.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada 11 sukarelawan yang menyumbangkan masa dan tenaga mereka kepada kelab dengan cara membantu membimbing penderma semasa urusan pendaftaran dan urusan derma darah semasa kempen tersebut.
Beliau turut berharap dapat terus menganjurkan kempen dan projek yang serupa pada masa hadapan dalam usaha membantu dan memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan, di samping memupuk hubungan yang lebih erat dengan rakan kelab dan juga masyarakat.


