BEIJING, 13 APRIL – Filipina akan menguatkuasakan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) mulai 2 Jun, menurut maklumat oleh Kementerian Perdagangan China kelmarin.
Ia sekali gus akan menjadikan RCEP dikuatkuasakan di kesemua 15 negara anggota, selain terus menggalakkan kawasan perdagangan bebas (FTA) terbesar di dunia itu ke fasa pelaksanaan secara menyeluruh.
China merupakan rakan dagang dan negara sumber import terbesar serta pasaran eksport ketiga terbesar bagi Filipina.
Selepas penguatkuasaan RCEP di Filipina, perdagangan kargo seperti komponen dan kenderaan, sebahagian produk plastik, tekstil dan pakaian, alat penyaman udara, serta mesin basuh dari China akan dikecualikan tarif import di negara itu.
Dalam bidang perkhidmatan dan pelaburan pula, Filipina komited membuka pasaran kepada lebih 100 agensi perkhidmatan termasuk pengangkutan laut dan udara, selain memberikan komitmen akses yang lebih jelas kepada pedagang asing dalam bidang komersial, telekomunikasi, penjualan, kewangan, pertanian dan pembuatan.
Ketika ini, perdagangan China dengan anggota RCEP meliputi 30.8 peratus jumlah perdagangan luar China.
Justeru, penguatkuasaan RCEP secara menyeluruh adalah kondusif bagi meningkatkan skala perdagangan dan pelaburan antara China dengan anggota RCEP selain memenuhi permintaan penggunaan domestik China yang kian meningkat.
Setiausaha Agung ASEAN, Kao Kim Hourn turut menyifatkan RCEP sebagai perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia. – Bernama


