Saturday, December 7, 2024
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    RCEP bantu bina komuniti ekonomi pelancongan

    GUIYANG, 18 SEPT – Perjanjian perdagangan bebas Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan membentuk semula corak pembangunan pelancongan global dan membantu membina komuniti ekonomi pelancongan terbesar di dunia, menurut laporan International Mountain Tourism Alliance and the Chinese Academy of Social Sciences (CASS) pada Sabtu, lapor Xinhua.

    RCEP dianggotai 15 negara yang terdiri daripada 10 anggota ASEAN, China, Jepun, Republik Korea (ROK), Australia dan New Zealand.

    Perjanjian RCEP ditandatangani pada November 2020 dan berkuat kuasa pada 1 Januari 2022, dengan matlamat untuk menghapuskan tarif secara beransur-ansur ke atas lebih 90 peratus barangan yang didagangkan dalam kalangan anggotanya.

    Menurut setiausaha agung pusat penyelidikan pelancongan CASS, Jin Zhun, hubungan ekonomi dan perdagangan antarabangsa yang terbuka dan kukuh, akan membantu mengoptimumkan persekitaran pasaran serantau, meningkatkan pertukaran ekonomi dan budaya serta menghubungkan bekalan dan permintaan pelancongan di negara berbeza.

    Laporan itu menunjukkan bahawa pada 2019, negara RCEP menerima kunjungan sejumlah 398 juta pelancong dari luar dan 260 juta pelancong keluar, masing-masing menyumbang 29 peratus dan 24 peratus daripada jumlah global.

    Negara anggota RCEP adalah sumber utama pelancong sesama negara anggota. Sebagai contoh, lapan daripada 10 sumber pelancong masuk teratas untuk Myanmar dan ROK adalah negara RCEP.

    Laporan itu menyebut di negara RCEP, kawasan pergunungan menyumbang lebih separuh daripada semua kawasan darat dan membentuk ruang pelancongan teras dengan negara anggota mempunyai 46 Tapak Warisan Dunia UNESCO yang bergunung-ganang dan menyediakan ruang yang besar untuk pembangunan pelancongan gunung. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda