Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    RCEP bantu peniaga kecil tembusi pasaran antarabangsa

    KUALA LUMPUR, 21 DIS – Pelaksanaan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) adalah penting terutamanya bagi membolehkan perniagaan kecil yang mahu memulakan usaha pertama mereka menembusi jualan di persada antarabangsa.

    Presiden United Parcel Service (UPS) bagi Asia Selatan, Matt Parkey berkata kehadiran RCEP adalah tepat pada masanya kepada 15 negara yang menyertai ketika rantau ini bersedia dengan pertumbuhan selepas pandemik dan mempunyai peluang besar dalam perniagaan di seluruh Asia, selain memanfaatkan UPS dari segi perdagangan rentas sempadan.

    “Antara manfaat utama perjanjian RCEP adalah pengurangan tarif sekurang-kurangnya 92 peratus ke atas semua produk. Ini akan mengurangkan kos yang ketara untuk memindahkan banyak kategori barangan merentasi blok ini. Manfaat terpenting adalah peraturan terkumpul asal yang mana produk yang layak mendapat pengecualian tarif di bawah perjanjian perdagangan ini menjadi lebih mudah.

    “Perniagaan juga perlu memohon sijil asal RCEP disatukan untuk membuat penghantaran di mana-mana sahaja dalam blok ini. Ini akan mengurangkan masa dan kos yang diperlukan untuk membuat permohonan. Selain itu, RCEP melindungi daripada perbuatan anti-persaingan di seluruh blok yang membenarkan setiap pasaran mengekalkan beberapa pengecualian untuk kepentingan awam,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

    Parkey berkata perjanjian itu tepat pada waktunya ketika perniagaan sentiasa berdepan cabaran dari segi pertumbuhan dan meneruskan perjuangan berikutan pandemik yang telah mendedahkan kepada kelemahan rantaian bekalan.

    “Sehubungan itu, UPS menasihatkan pelanggan kami bagaimana untuk menyesuaikan dan mempelbagaikan rantaian bekalan untuk jangka pendek dan sederhana. Kami menasihatkan perniagaan bagaimana menjadi fleksibel untuk berdaya tahan dan mampan.” – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda