Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) ke-4 yang dimeterai selepas lapan tahun rundingan dan ditandatangani oleh 15 buah negara serantau hari ini, akan menjadi pemacu pertumbuhan yang akan membentuk landskap ekonomi rantau ini pada masa akan datang.
Perjanjian RCEP ini juga memainkan peranan penting dalam usaha-usaha pemulihan ekonomi serantau pasca pandemik dan sebagai perjanjian perdagangan bebas yang terbesar di dunia dengan jumlah penduduk seramai 2.2 bilion dan dengan hampir 30 peratus keluaran dalam negara kasar global, RCEP dijangka membuka peluang baharu sekali gus meningkatkan lagi pertalian ekonomi antara negara-negara peserta.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu ketika bertitah pada Sidang Kemuncak RCEP ke-4 semasa menyertai para pemimpin ASEAN dan rakan-rakan pada Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-11 dan Sidang Kemuncak RCEP secara maya melalui sidang video dari Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman hari ini.
Baginda turut mengucapkan tahniah kepada negara-negara peserta RCEP atas kesepaduan dan kerjasama dalam menyelaraskan perbincangan RCEP, ke arah mendukung perdagangan bebas walaupun berdepan cabaran ekonomi.
Sidang kemuncak RCEP yang disertai para pemimpin ASEAN dan rakan kongsi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) termasuk Australia, Republik Rakyat China, Jepun, New Zealand dan Republik Korea itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam selaku Pengerusi ASEAN, Tuan Yang Terutama Nguyen Xuan Phuc.


Presiden Republik Indonesia, TYT Joko Widodo selaku pengerusi rundingan RCEP dalam pada itu mengalu-alukan penandatanganan perjanjian yang menandakan komitmen serantau kepada prinsip-prinsip perdagangan multilateral yang terbuka, adil dan membawa manfaat untuk semua. Ia juga menunjukkan komitmen terhadap win-win paradigm dalam mengekalkan keamanan dan kemakmuran di rantau ini serta pemulihan pasca pandemik.
Ini diikuti dengan ucapan daripada Perdana Menteri New Zealand, PYT Jacinda Ardern selaku fasilitator rakan-rakan kongsi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN dalam RCEP. New Zealand menekankan bahawa pandemik COVID-19 telah memberikan kesan-kesan negatif terhadap ekonomi global dan menyebabkan peningkatan dalam protectionism.
Oleh itu, New Zealand percaya bahawa Perjanjian RCEP adalah signifikan dalam tindak balas terhadap krisis global melalui perkembangan kerjasama antarabangsa. Perdagangan membolehkan pemulihan ekonomi dan akan memacu usaha pemulihan dengan meningkatkan pendapatan, inovasi dan produktiviti.
Dalam sidang kemuncak ini, para pemimpin negara kongsi RCEP menekankan bahawa penandatanganan RCEP mencerminkan keazaman tinggi serantau untuk memajukan perdagangan bebas.
Penandatanganan tersebut adalah satu petanda penting, menjadikan RCEP sebagai perjanjian perdagangan bebas yang terbesar di dunia, dengan membentuk kawasan perdagangan yang meliputi satu pertiga penduduk dunia, keluaran dalam negara kasar (KDNK), atau jumlah perdagangan di mana ASEAN berada di tengah-tengah.
Penandatanganan juga menunjukkan komitmen negara peserta untuk membangun ke arah multilateralisme dan perdagangan bebas, meningkatkan perpaduan dan perkongsian ke arah kerjasama inklusif yang lebih erat dalam pertumbuhan dan perkembangan ekonomi global. Nilai strategik RCEP sebagai pemangkin untuk memajukan dan meningkatkan kedayatahanan ekonomi serantau. RCEP akan menunjukkan corak integrasi di mana ekonomi dapat bersatu dan saling menyumbang kepada pembangunan masing-masing.
Sidang kemuncak ini telah meluluskan Joint Leaders’ Statement on RCEP. Pada penghujung Sidang Kemuncak RCEP ke-4, Baginda juga menyaksikan penandatanganan Perjanjian RCEP oleh menteri-menteri RCEP.
Daripada 16 negara-negara ini, sebanyak 15 negara telah menandatangani perjanjian tersebut pada hari ini, yang mana India juga ditawarkan untuk menyertai RCEP apabila ia sudah bersedia.
Objektif pelancaran perundingan RCEP adalah untuk mencapai persetujuan perkongsian ekonomi di kalangan negara-negara anggota ASEAN dan rakan-rakan kongsi FTA ASEAN yang moden, komprehensif, berkualiti tinggi dan membawa manfaat bersama.
SIDANG KEMUNCAK ASEAN-PBB KE-11
Pada sidang kemuncak ASEAN-PBB ke-11 pula, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengucapkan tahniah kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres sempena Ulang Tahun ke-75 PBB, dan memuji kejayaan PBB dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerajui respons global dalam menangani pandemik COVID-19, di samping memberikan sokongan kepada PBB dalam hal ini.
Baginda mengambil maklum bahawa usaha-usaha telah dilaksanakan ke arah melengkapi Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) dan Visi Komuniti ASEAN 2025, serta menggalakkan usaha-usaha lanjut dalam mengenal pasti langkah-langkah untuk menjaga dan menyediakan rakyat untuk menghadapi cabaran masa depan.
Kemajuan berterusan di antara ASEAN dan PBB akan bergantung kepada rantau yang aman dan stabil. Oleh itu, ianya adalah penting untuk sama-sama menangani cabaran-cabaran keselamatan seperti jenayah rentas sempadan, keganasan serta pengganasan.
Pada mengakhiri titah, Baginda menggalakkan bagi ASEAN dan PBB untuk bekerjasama melalui U.N. Alliance of Civilisations ke arah menegakkan budaya keamanan dan dialog serta meningkatkan kepercayaan dan kesefahaman, sebagai tindakbalas kepada sikap tidak bertoleransi terhadap bangsa dan ugama yang semakin meningkat.
Terdahulu, TYT Nguyen Xuan Phuc semasa menyampaikan ucapan pada sidang kemuncak itu, menekankan bahawa ASEAN merupakan pusat bagi penyelarasan tindakan bersama PBB dalam mengekalkan keamanan dan menggalakkan pembangunan mampan melalui Piagam ASEAN.
Sehubungan ini, ASEAN Centrality menekankan prinsip dialog dan kerjasama melalui usaha-usaha pimpinan PBB ke arah mencapai keamanan, kestabilan dan pembangunan serantau. Dalam menangani cabaran-cabaran baharu akibat pandemik COVID-19, di samping itu perbincangan semasa sidang kemuncak ini juga akan dapat memperkukuhkan Perkongsian Komprehensif ASEAN-PBB bagi menyumbang kepada pemulihan mampan di rantau ini.
Manakala TYT Antonio Guterres semasa berucap menyeru kepimpinan dan keazaman ASEAN untuk melindungi matlamat bersama ASEAN dan PBB dengan adanya ancaman-ancaman global terhadap pembangunan mampan termasuk ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, kemiskinan dan ketidaksaksamaan.
Beliau turut memuji tindak balas ASEAN yang pantas bagi menangani pandemik dan menghargai cadangan ASEAN bagi vaksin COVID-19 dijadikan sebagai global public good.
Mengenai alam sekitar, beliau memohon semua negara-negara anggota ASEAN untuk bergerak menuju ke sasaran net zero carbon dan menekankan keperluan tindakan kukuh untuk mengurangkan impak-impak perubahan iklim.
Dalam sidang kemuncak ini, para pemimpin menyentuh mengenai pencapaian PBB yang banyak memberi manfaat kepada banyak negara dalam mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di seluruh dunia; dan tanggungjawab bersama PBB dan ASEAN dalam mengembalikan multilateralisme ke arah kesediaan yang lebih baik dalam menangani COVID-19 serta wabak-wabak akan datang.
Para pemimpin juga menyeru sokongan PBB untuk berkongsi amalan terbaik dan pengalaman untuk meningkatkan kapasiti ASEAN ke arah, antara lain, mengatasi permusuhan dalam mempertahankan kedamaian serantau dan global, menangani perubahan iklim, dan menjamin kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana alam.