Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Pelbagai penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi pertanian telah dilihat semakin aktif diungkayahkan oleh institusi-institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Brunei (UTB), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) pada masa ini.
Sehubungan itu, melalui usaha pengumpulan data dan maklumat untuk R&D berkenaan maka ia juga diharap akan dapat diusahakan secara lebih komprehensif seperti menubuhkan Central Information System.
Dalam perkara itu, ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Lau How Teck mencadangkan agar pihak-pihak berkepentingan menekankan program pertanian yang ditawarkan di institusi-institusi pengajian tinggi itu mempunyai hala tuju yang diversiti.
Pada Persidangan MMN ke-20 di Bangunan Dewan Majlis, hari ini, beliau turut menjelaskan sebagai contoh, sebuah universiti itu menawarkan program bidang dalam pertanian, manakala universiti yang lain menawarkan program dalam bidang perikanan, bukannya membuka dan menumpukan program-program yang sama sahaja kepada institusi-institusi pengajian tinggi.
“Perkara ini akan dapat menggalakkan lagi terutama dalam perkembangan R&D kerana setiap institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai fokus-fokusnya dan secara tidak langsung turut mengukuhkan lagi asas penyelidikan-penyelidikan yang tertentu,” tekannya.


Menyentuh mengenai hal berkenaan, Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin berkata, terdapat kolaborasi antara Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Jabatan Perikanan dengan institusi-institusi pengajian tinggi pada masa ini di mana R&D yang telah dibuat itu digunakan bagi pihak jabatan memberi formulasi atau strategi yang lebih efektif kepada
golongan peladang pada masa ini.
Sebagai contoh, tambahnya, kolaborasi dengan pihak UNISSA pada masa ini terdapat tiga penyelidikan untuk penambahbaikan tanah bagi ladang-ladang di negara ini, menggunakan baja tahi ayam, konsep pertanian organik dan juga teknik lain.
Dengan pihak UNISSA pula, terdapat satu kajian berkenaan dengan pertanian vertikal, pengenalan kepada pertanian vertikal, implikasi kepada produktiviti. Ia dilaksanakan oleh pihak UNISSA bersama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.
Di samping itu juga, pihak kementerian bagi pihak alam sekitar mendapat bantuan dengan pihak UNISSA dalam mengkaji jangka hayat untuk mengekalkan kesegaran hasil tani.
Ini adalah satu penyelidikan yang dibuat oleh UNISSA untuk membantu mengurangkan sisa dalam hasil tuaian.
Dengan pihak UTB pula, jelasnya lagi, mereka membuat penyelidikan dan pembungkusan serta penyelidikan dalam pengairan perladangan, manakala itu, IBTE kini sedang melaksanakan percubaan pertanian padi.
“Insya-Allah dalam sekejap masa lagi Jabatan Perikanan akan melibatkan pihak UNISSA dalam membuat kajian bersama dengan pihak Singapore Broodstock Development (Breeding and Hatchery),” ujarnya sambil menambah, ia akan dapat dilaksanakan tidak lama lagi untuk membolehkan negara meningkatkan kapasiti untuk menyediakan baka ikan.

