Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Julai – Bagi menyokong pembangunan belia, Readymix Concrete (B) Sdn Bhd telah menganjurkan seminar amal dan pembangunan profesional berterusan (CPD) mengenai Hot Climate Concreting & Concrete yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Tungku Link, di sini, hari ini.
Seminar amal berkenaan telah berjaya mengutip lebih $2,000 yang disumbangkan kepada dua buah persatuan bukan kerajaan belia iaitu Society for Community Outreach & Training (SCOT) dan Projek Bina Ukhwah sebagai sokongan berterusan kepada pembangunan belia.
Setiap persatuan menerima $1,000 yang diterima oleh Pengarah Green Xchange, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari dan Pengurus Projek Green Xchange 10, Dayang Khairunnisa Amalia binti Haji Sirat daripada SCOT dan Presiden Projek Bina Ukhwah, Dayangku Nur Duratul Ain binti Pengiran Sarippudin serta Setiausaha Projek Bina Ukhwah, Dayang Siti Noor Afiqah binti Haji Jamudin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, seminar tersebut dikendalikan oleh penceramah undangan iaitu Balamohan Balakrishan yang mempunyai kelulusan ijazah dari Universiti Sains Malaysia dalam Kejuruteraan Awam dan Sarjana Kejuruteraan dalam bidang struktur dan bahan dari Universiti Teknologi Malaysia.
Empat topik telah diketengahkan dalam seminar berkenaan iaitu Background of Hot Weather Concreting, Concrete Floor Cracks, Guide to successful concreting in hot weather dan Using Fly Ash in hot weather concreting.
Disokong oleh Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) menerusi Pensijilan Masa Kredit CPD, seminar berkenaan disertai oleh kira-kira 100 peserta daripada industri pembinaan yang terdiri daripada jurutera, juruukur kuantiti, arkitek, fomen tapak projek, pengarah urusan, perunding swasta, badan kerajaan dan para penyelia.