MADRID, 3 APRIL – Karim Benzema dan Joao Felix memastikan Real Madrid dan Atletico Madrid meraih kemenangan yang meningkatkan semangat dalam La Liga kelmarin sebelum berdepan pasukan handalan Liga Perdana minggu hadapan dalam suku akhir Liga Juara-juara.
Benzema terlepas satu sepakan penalti tetapi berjaya menjaringkan dua gol ketika Real Madrid menewaskan Celta Vigo 2-1 untuk kembali ke landasan kemenangan menjelang pertemuan genting dengan Chelsea pada Rabu nanti.
Sementara itu, Atletico Madrid menewaskan Alaves 4-1 sebelum lawatan mereka ke Manchester City kendalian Pep Guardiola pada Selasa nanti, Felix dalam prestasi terbaik menjaringkan dua gol, dengan Luis Suarez menambah jaringan selepas masuk sebagai pemain gantian.
Felix kini memiliki tujuh gol dalam lapan perlawanan terakhirnya untuk Atletico dan pemain berusia 22 tahun itu berkemungkinan menjadi pemain utama sekiranya pemain Diego Simeone mahu membuat kejutan dalam menentang City dan mara ke separuh akhir. – AFP
