Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Real Madrid belasah Levante, Mbappe ledak dua gol

    VALENCIA, SEPANYOL, 24 SEPT – Real Madrid meneruskan rentak kemenangan dalam saingan La Liga selepas menewaskan Levante 4-1, kelmarin.

    Kylian Mbappe meledak dua gol untuk menjadikannya tujuh jaringan liga dalam enam perlawanan, sekali gus mengekalkan rekod sempurna skuad bimbingan Xabi Alonso.

    Vinicius Junior membuka jaringan dengan penyudah hebat manakala Franco Mastantuono turut meledak gol untuk pendahulu liga itu.

    Barcelona yang berada di tangga kedua bakal berkunjung ke Real Oviedo pada Khamis, dengan juara bertahan itu kini ketinggalan lima mata di belakang Madrid.

    “Ia perlawanan yang sangat baik sejak awal, kami benar-benar komited dalam bertahan dan gol pertama amat penting untuk mendahului dan memberikan keyakinan,” kata Alonso.

    Kylian Mbappe menjaringkan gol dari sepakan penalti semasa perlawanan liga Sepanyol antara Levante UD dan Real Madrid CF di stadium Ciutat de Valencia di Valencia pada 23 September. – AFP
    Real Madrid terus cemerlang di La Liga dengan kemenangan ke atas Levante, manakala Mbappe menjaringkan dua gol untuk kekal rekod sempurna skuad bimbingan Xabi Alonso. – AFP

    Vinicius sebelum ini tidak berpuas hati apabila digantikan Alonso ketika kemenangan ke atas Espanyol pada Sabtu lalu, namun kali ini bermula di sayap kiri dan tampil cemerlang.

    Sejak menduduki tempat kedua di belakang pemain Manchester City, Rodri, dalam anugerah Ballon d’Or tahun lalu, Vinicius bergelut mengekalkan konsistensi.

    Namun, dia kembali menemui rentak di Stadium Ciutat de Valencia dan membuka jaringan pada minit ke-28 selepas permulaan yang bertenaga.

    “Vini tampil dengan persembahan yang lengkap dan sangat baik, saya amat gembira untuknya,” ujar Alonso.

    Penjaga gol Valencia, Mathew Ryan, menafikan percubaan Vinicius dengan satu aksi cemerlang sebelum Mastantuono terkena palang hasil bola muntah ketika Real Madrid mendominasi awal permainan.

    Kemudian hantaran Fede Valverde di sebelah kanan kotak penalti dimanfaatkan Vinicius dengan sepakan lengkung menggunakan bahagian luar kaki kanannya yang terus menerjah ke penjuru gawang.

    Ivan Romero dan Adrian de la Fuente hampir menghadiahkan gol buat Levante pada awal permainan, namun Madrid menambah gol kedua apabila Vinicius mencipta gerakan untuk Mastantuono merembat masuk ke penjuru atas gawang.

    Ia merupakan jaringan pertama penyerang berusia 18 tahun itu bersama kelab sejak berhijrah dari River Plate pada musim panas lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda