Real Madrid berpesta gol

PLZEN, Republik Czech, 8 Nov – Jaringan separuh masa pertama Karim Benzema memastikan Real Madrid melakarkan kemenangan 5-0 ke atas Viktoria Plzen dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Dengan kemenangan itu, juara bertahan Real semakin menghampiri kelompok 16 pasukan terakhir selepas kemenangan ketiga berturut-turut di bawah kendalian Santiago Solari.

Bekas pemain tengah Real, Solari mengambil alih tugas jurulatih dari Julen Lopetegui yang dipecat sebagai jurulatih pada 29 Oktober lalu, dan sekarang menyaksikan pasukan kendaliannya menjaringkan 11 gol berikutan kemenangan ke atas Melilla dan Real Valladolid.

“Saya rasa kami mempamerkan aksi yang menarik hari ini, kami menjaringkan gol cantik,” kata Solari kepada wartawan. “Kemenangan 5-0 dalam Liga Juara-Juara. Saya hanya gembira dengan keputusan itu.”

Pengurus sementara yang berusia 42 tahun dari Argentina itu menepis soalan mengenai masa depannya sebagai ketua jurulatih Real.

Bale (kiri) menanduk bola ke gawang sambil disaksikan pemain lain dalam aksi Liga Juara-Juara antara Real Madrid dan Viktoria Plzen di Arena Doosan di Pilsen. – AP

“Saya hanya memikirkan mengenai perlawanan seterusnya. Bola sepak adalah mengenai perkara sekarang dan ia adalah perlawanan seterusnya yang menjadi keutamaan,” jawabnya, ketika pasukannya bakal berkunjung ke Celta Vigo pada Ahad ini.

Benzema menjaringkan gol pertama pada minit ke-21, membuat larian dalam pertahanan Plzen dan menewaskan penjaga gol Ales Hruska dengan rembatan leret.

Sejurus selepas itu, Casemiro menukar kedudukan menjadi 2-0 dengan menanduk masuk sepakan sudut Toni Kroos, sebelum Benzema menanduk masuk jaringan pada minit ke-37.

Gareth Bale menjaringkan gol lima minit sebelum separuh masa pertama berakhir, menewaskan Hruska dengan rembatan leret kaki kiri berikutan tandukan dari Benzema.

Kroos berjaya mencetak gol pada minit ke-68, yang meledakkan rembatan melencong ke atas gawang Hruska berikutan hantaran dari Vincius Junior, 18, yang diturunkan sebagai pemain gantian separuh masa kedua.

Real sekarang berkongsi kedudukan bersama pasukan Roma di tangga teratas Kumpulan G dengan sembilan mata, selepas kemenangan pasukan dari Itali itu 2-1 di CSKA Moscow awal pagi tadi. CSKA berada di tangga ketiga dengan mengutip empat mata, sementara Plzen berada di tangga tercorot dan sudah pun disahkan tersingkir. – AFP