LOS ANGELES, 31 JULAI – Karim Benzema menyempurnakan sepakan penalti awal dan Marco Asensio menggandakan jaringan pada separuh masa kedua ketika Real Madrid menewaskan Juventus 2-0 dalam perlawanan persahabatan pramusim di Rose Bowl California kelmarin.
Dengan fokus tertumpu pada pertembungan Piala Super Eropah di antara Real Madrid dengan Eintracht Frankfurt dalam masa 10 hari, jurulatih Los Blancos, Carlo Ancelotti memulakan perlawanan semalam dengan barisan pemain yang sama ketika mereka menewaskan Liverpool dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada Mei lalu.
Real Madrid menghasilkan kemenangan pertama dalam jelajah mereka di Amerika Syarikat, selepas tewas 1-0 kepada pesaing La Liga, Barcelona di Las Vegas dan seri 2-2 menentang Club America Mexico di San Francisco.
Penonton dilihat masih berpusu-pusu untuk menyaksikan perlawanan tersebut apabila gol bintang Perancis, Benzema dibatalkan hanya lapan saat daripada sepak mula menerusi hantaran Federico Valverde dari Uruguay yang menyebabkannya ofsaid.
Peluang terbaik Juventus hadir pada minit ke-13, tetapi sepakan percuma Leonardo Bonucci malangnya tersasar terkena palang.
Benzema membuka tirai jaringan dengan sepakan penalti pada minit ke-19, merembat kencang ke sudut kiri bawah selepas pemain Juventus, Danilo menjatuhkan rakan senegara Brazil, Vinicius Junior dengan gerakan meluru di kawasan penalti.
Benzema dan Asensio adalah antara pemain yang dikeluarkan apabila Ancelotti melakukan sembilan pertukaran.
Asensio seterusnya memberikan impak segera dengan menyambar hantaran silang dari kiri oleh Jesus Vallejo untuk diterjah masuk ke gawang gol Juventus pada minit ke-69 perlawanan. – AFP
