PAMPLONA, 16 FEB – Real Madrid tercicir dua mata selepas seri 1-1 dengan Osasuna semalam, dalam perlawanan yang menyaksikan Jude Bellingham dilayangkan kad merah, namun mereka kekal di tangga teratas La Liga selepas Atletico Madrid turut seri 1-1 dengan Celta Vigo.
Juara Sepanyol itu mendahului menerusi Kylian Mbappe sebelum pengadil mengeluarkan kad merah kepada pemain antarabangsa England, Bellingham, kerana bantahan pada penghujung separuh masa pertama.
Ante Budimir menyamakan kedudukan buat tuan rumah Osasuna menerusi sepakan penalti pada minit ke-58, menyebabkan pasukan kendalian Carlo Ancelotti mengalami perlawanan liga ketiga berturut-turut tanpa kemenangan.
Atletico Madrid, yang turut beraksi dengan 10 pemain selepas Pablo Barrios dibuang padang seawal minit ketujuh, gagal mengambil kesempatan dan kekal satu mata di belakang Los Blancos. Namun, Barcelona boleh menyamai mata dengan Real Madrid jika mereka menewaskan Rayo Vallecano pada Isnin.
Bellingham menegaskan bahawa dia hanya meluahkan kekecewaannya dan tidak berniat menghina pengadil.

“Saya rasa awda boleh lihat dengan jelas dalam rakaman video, saya masih ingat kejadian itu dengan baik, ia hanyalah satu luahan kepada diri sendiri,” katanya kepada wartawan.
“Saya langsung tidak menghadap pengadil, tetapi jelas timbulnya salah faham. Dia percaya saya mengatakan sesuatu yang menghina kepadanya.
“Tidak ada niat untuk menghina, tidak ada sebarang kata-kata penghinaan.”
Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti, berkata dia tetap berpuas hati dengan prestasi pasukannya walaupun kehilangan mata.
“Dari segi permainan, kami bermula dengan baik dan kami juga mengakhiri perlawanan dengan baik walaupun beraksi dengan kurang seorang pemain,” kata Ancelotti. – AFP