Wednesday, February 5, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Real Madrid kritik mutu pengadilan ‘berat sebelah’

    MADRID, 4 FEB – Real Madrid kelmarin mengkritik mutu pengadilan di Sepanyol sebagai ‘berat sebelah’ dan ‘hilang kredibiliti sepenuhnya’ selepas kekalahan mengejut 1-0 di tangan pasukan yang sedang bergelut, Espanyol hujung minggu lalu.

    Gergasi Sepanyol itu berang selepas pertahanan Espanyol, Carlos Romero, tidak dilayangkan kad merah selepas melakukan kekerasan ke atas Kylian Mbappe pada minit ke-61 dalam perlawanan Sabtu lalu.

    Romero hanya dikenakan kad kuning atas kekasaran tersebut dan kemudiannya menjaringkan gol kemenangan, sekali gus menyebabkan Real Madrid kini hanya mempunyai kelebihan satu mata di puncak liga.

    “Insiden dalam perlawanan itu tidak sepatutnya berlaku kesilapan manusia atau salah pertimbangan keputusan pengadil,” tulis Setiausaha Lembaga Pengarah Real Madrid, Jose Luis del Valle Perez, dalam surat kepada Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) yang dimuat naik oleh kelab itu secara dalam talian.

    “Apa yang berlaku di Stadium RCDE mencerminkan kemuncak kepada sistem pengadilan yang hilang kredibiliti sepenuhnya, di mana keputusan terhadap Real Madrid telah mencapai tahap manipulasi dan pengubahan persaingan yang tidak boleh diabaikan,” tambahnya.

    Selain Romero terlepas daripada hukuman kad merah, gol Vinicius Junior turut dibatalkan selepas Mbappe didakwa mengasari pemain lawan.

    “Memandangkan keseriusan insiden ini, Real Madrid menuntut agar RFEF segera menyerahkan rakaman audio VAR berkaitan dua keputusan penting dalam perlawanan ini,” kata kelab itu.

    Real Madrid turut menggesa satu reformasi menyeluruh terhadap sistem pengadilan di Sepanyol, menuduhnya sebagai ‘berat sebelah sepenuhnya dan secara struktur dibina untuk melindungi kepentingannya sendiri’. – AFP

    Reaksi Vinicius Junior (tengah) semasa perlawanan bola sepak liga Sepanyol antara RCD Espanyol dan Real Madrid CF di Stadium RCDE, Cornella de Llobregat, pada 1 Februari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda