MADRID, 3 NOV – Juara Eropah, Real Madrid mudah mengatasi Celtic 5-1 seterusnya mara ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara kelmarin.
Madrid menampilkan dominasi mereka apabila mendahului hasil penalti Luka Modric dan Rodrygo pada babak pertama yang diberikan kerana bola terkena tangan manakala satu penalti gagal disempurnakan Josip Juranovic buat kelab Scotland itu.
Marco Asensio meledak gol ketiga pada awal babak kedua yang terus memberikan kelebihan buat juara 14 kali itu sebelum Vinicius Junior mencetak gol keempat hasil hantaran lintang Fede Valverde yang kemudiannya turut menambah gol kelima.
Kemenangan mengatasi pasukan kendalian Ange Postecoglou yang dapat merapatkan jaringan menerusi sepakan percuma Jota, meletakkan mereka satu mata di depan pasukan tangga kedua, Leipzig yang menewaskan Shakhtar Donetsk 4-0.
“Perlawanan seperti ini dengan banyak gol terhasil, kembali ke rentak kemenangan, itu adalah perkara paling penting, menamatkan kedudukan di tangga teratas. Ia hari yang hebat,” kata Rodrygo kepada Movistar.
“Ia (penyingkiran) akan menjadi cabaran sekali lagi, ia akan menjadi sukar, tiada lagi pasukan mudah, mereka semua pasti boleh membuatkan kami menderita, sesiapa sahaja yang akan kami temui.” Carlo Ancelotti meraih kemenangan ke-103 dalam Liga Juara-Juara sepanjang kariernya, mengatasi jurulatih Manchester United, Alex Ferguson yang sebelum ini memegang rekod sepanjang zaman.
“Perlawanan ini bagus sejak permulaan, kami amat fokus, kami tidak mahu masalah, kami mahu menamatkan peringkat kumpulan dengan perasaan baik dan kami berjaya melakukannya,” kata Ancelotti. – AFP
