Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Real Madrid menang tipis

    MADRID, 29 April – Gareth Bale menjaringkan satu gol ketika Real Madrid membuat persediaan bagi saingan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara awal pagi Rabu depan di Bayern Munich dengan kemenangan 2-1 ke atas Leganes awal pagi tadi.

    Bale memberikan Real kelebihan awal sebelum Borja Mayoral memanfaatkan kelekaan pertahanan bagi menjadikan dua gol sebelum tamat separuh masa pertama.

    Pemain Serbia, Darko Brasanac memberikan Leganes harapan untuk bangkit tetapi Real menutup peluang itu dengan kemenangan walaupun bergelut pada separuh masa kedua.

    “Saya sangat gembira dengan apa yang ditunjukkan oleh pemain saya hari ini, dengan 10 perubahan terhadap kesebelasan utama, dengan pemain yang tidak banyak bermain,” kata jurulatih Real, Zinedine Zidane.

    Gareth Bale (kanan) semasa membuat rembatan ke arah gawang lawan sambil cuba dihadang oleh pemain Leganes dalam aksi La Liga. – AP

    “Kami tidak boleh gembira dengan apa yang kami sudah lakukan dalam liga secara keseluruhannya. Kami hilang banyak mata pada permulaan, kemudian kami beraksi dengan lebih baik tetapi ia boleh berlaku sepanjang musim.

    “Kini kami perlu kembali bekerja keras, kami ada satu lagi perlawanan pada Selasa (awal pagi Rabu) yang menjadi perlawanan terhebat kami. Kami ada gelaran yang perlu dipertahankan.”

    Real kini kekal di kedudukan ketiga liga, satu mata di belakang pencabar dari bandar yang sama, Atletico Madrid, yang akan menentang Alaves Ahad ini, sementara Barcelona boleh mengesahkan gelaran La Liga jika mereka berupaya mengelak kekalahan di tangan Deportivo La Coruna. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda