Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Real Madrid raja kebangkitan

    BARCELONA, 22 FEB – Real Madrid memahat nama mereka selaku raja Eropah yang tidak akan dilupakan, dan mereka sekali lagi membuktikannya di Anfield menentang Liverpool, semalam.

    Meskipun ketinggalan dua gol dalam masa 14 minit, pasukan kendalian Carlo Ancelotti membuat kebangkitan untuk menundukkan pasukan tuan rumah dengan keputusan menakjubkan 5-2 dalam saingan Liga Juara-Juara kelompok 16 terakhir pusingan pertama.

    Madrid melakar rekod menjulang Piala Eropah kali ke-14 musim lalu setelah menewaskan pasukan bimbingan Jurgen Klopp 1-0 di peringkat akhir di Paris, namun sepanjang kejohanan itu mereka menghasilkan kebangkitan luar biasa semasa pertemuan menentang Paris Saint-Germain, Chelsea dan Manchester City.

    Persembahan di Mer-seyside turut menjadi kisah serupa, dengan permulaan hambar di bahagian pertahanan namun berbahaya ketika menyerang dalam pertembungan yang huru-hara dan sukar dilupakan.

    Pasukan Ancelotti kadangkala hanya menemui rentak permainan selepas ketinggalan dan ketua jurulatih Madrid itu berkata bahawa dia tidak risau, meskipun Liverpool berada di hadapan menerusi jaringan Darwin Nunez dan Mohamed Salah.

    Aksi Nacho cuba memintas bola daripada Jordan Henderson semasa pertembungan di Liga Juara di Anfield, baru-baru ini.- AP

    “Saya memikirkan mengenai Manchester City dan berharap perkara serupa akan berlaku, dan ia betul-betul terjadi, malahan lebih baik,” Ancelotti memberitahu Movistar, mengimbas kembali pertemuan peringkat separuh akhir pusingan pertama musim lalu, di mana Madrid ketinggalan dua gol menentang pasukan Pep Guardiola.

    “Kami mula mencipta gol, memberikan ancaman dan pertahanan kami bertambah baik.”

    Vinicius Junior (gambar-AFP) menjadi kunci kebangkitan Madrid, yang meledak dua gol untuk membantu pasukannya menyamakan kedudukan sebelum separuh masa.

    “Vinicius ketika ini, bagi pendapat saya, adalah pemain paling penting dalam bola sepak dunia,” tambah Ancelotti.

    Pemain berusia 22 tahun ini mengasak penjaga gol Liverpool, Alisson Becker sehingga melakukan kesilapan, lalu menjaringkan gol. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda