Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Real Madrid tersungkur

    LEIPZIG, JERMAN, 26 OKT – RB Leipzig mencipta kemenangan 3-2 mengatasi Real Madrid dalam Liga Juara-Juara yang memberikan kekalahan pertama musim ini buat penyandang gelaran itu menjelang pertemuan penting berdepan Shakhtar Donetsk minggu depan.

    Kelab dari Jerman itu akan layak ke kelompok 16 terakhir jika seri menentang pasukan dari Ukraine itu pada aksi terakhir kumpulan, 2 November ini dan kemenangan bermakna mereka masih boleh mengetepikan skuad kendalian Carlo Ancelotti dari persada kumpulan.

    Juara dengan rekod 14 kali itu sudah mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya tetapi gagal menyerlah di Red Bull Arena menentang pasukan pimpinan Marco Rose dan tewas kali pertama sepanjang musim ini selepas 17 perlawanan. Josko Gvardiol menanduk masuk dari jarak dekat pada minit ke-13 dan Christopher Nkunku meledak gol kedua lima minit kemudian dengan Vinicius Junior kembali merapatkan kedudukan sebelum tamat babak pertama.

    Timo Werner mencetak gol kemenangan dari jarak dekat pada minit ke-81 dengan Rodrygo kembali merapatkan jaringan hasil sepakan penalti buat Madrid pada penghujung permainan. Leipzig kini ketinggalan sembilan mata, satu di belakang pendahulu Kumpulan F, Madrid.

    “Kami ke sana dan gagal beraksi baik, tidak cukup tenaga atau agresif dan perlu menanggung akibatnya,” kata penjaga gol Madrid, Thibaut Courtois.

    “Jurulatih memberi amaran kepada kami tetapi kami masih bermain dengan lemah. Mereka boleh menjaringkan dua gol hasil sepakan penjuru. Kami melakukan banyak hantaran teruk, kawalan buruk, tidak menang banyak bola, kurang intensiti. Kami tidak melalui perlawanan yang bagus.

    “Hari yang teruk boleh berlaku, ada terlalu banyak perlawanan dalam tempoh yang pendek, tapi awda tidak boleh kurang intensiti. Mereka pasukan yang bahaya apabila melakukan serangan balas pantas.” – AFP

    Aksi Aurelien Tchouameni (kiri) semasa bersaing dengan Christopher Nkunku dalam perlawanan bola sepak antara Real Madrid dan RB Leipzig di RB Arena, Leipzig, Jerman. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...