CHARLOTTE, 23 JUN – Real Madrid mengetepikan kad merah awal untuk menewaskan Pachuca dari Mexico 3-1 dan mengorak langkah ke peringkat kalah mati Piala Dunia Kelab, kelmarin.
Keputusan itu meletakkan Madrid, di puncak Kumpulan H dengan empat mata manakala Pachuca tersingkir selepas dua kekalahan.
Kelab Arab Saudi, Al Hilal, yang mengikat Real dalam perlawanan pembukaan akan berdepan Salzburg yang berada di tempat kedua dalam satu lagi perlawanan pada Ahad.
Kelab gergasi Sepanyol itu menghadapi masalah seawal minit ketujuh apabila Raul Asencio dilayangkan kad merah selepas dia menjatuhkan pemain Venezuela, Salomon Rondon.
Insiden itu memberikan harapan kepada pasukan Liga MX untuk mencipta kejutan di hadapan 70,248 penyokong di gelanggang pasukan Carolina Panthers NFL.

Pachuca hampir membuka jaringan apabila pemain Brazil, Kenedy, melakukan rembatan yang ditepis Thibaut Courtois dan penjaga gol Belgium itu cemerlang menafikan rembatan susulan Alan Bautista.
Bagaimanapun, Real berjaya mengawal permainan di bahagian tengah dan memperlahankan rentak, mengehadkan peluang untuk Pachuca.
Usaha Real untuk menjaringkan gol akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-35.
Tindakan bijak Gonzalo Garcia memberikan ruang kepada Fran Garcia di sebelah kiri dan mendorong bola ke arah Jude Bellingham yang kemudian melakukan rembatan kaki kiri ke sudut gawang.
Dua minit sebelum rehat, Real menggandakan kelebihan mereka apabila Trent Alexander-Arnold melakukan hantaran silang rendah dari kanan kepada Gonzalo yang kemudiannya membolehkan Arda Guler menyempurnakan peluang dengan tenang.
Pachuca mencipta banyak peluang selepas rehat, tetapi Courtois bersedia menafikan percubaan John Kennedy dan rembatan Rondon dan Bryan Gonzalez. – AFP

