EAST RUTHERFORD, 6 JULAI – Penyerang muda Gonzalo Garcia menjaringkan gol keempatnya dalam Piala Dunia Kelab dan gol pertama bagi Kylian Mbappe ketika Real Madrid menewaskan Borussia Dortmund 3-2 kelmarin untuk menetapkan perlawanan separuh akhir menentang juara Eropah, Paris Saint-Germain (PSG).
Garcia, 21, meletakkan Madrid di depan dari jarak dekat kelmarin di Stadium MetLife di luar New York City, dan Fran Garcia kemudian menggandakan pendahuluan mereka pada separuh masa pertama.
Dortmund tidak begitu memberi ancaman untuk kembali bangkit sebelum melakukan serangan bertubi-tubi pada minit akhir perlawanan, dengan Maximilian Beier membalas satu gol pada minit ke-93 dan Mbappe memperoleh gol ketiga Madrid dengan sepakan yang cantik.
Serhou Guirassy kemudian melengkapkan jaringan untuk Dortmund dengan sepakan penalti selepas Dean Huijsen dari Real dibuang padang, sebelum wisel sepenuh masa dibunyikan.
“Semuanya terkawal dengan keputusan, tidak bolos banyak, tetapi 10 minit terakhir agak mengejutkan, apabila kami kehilangan sedikit rentak permainan, kewaspadaan kami…tetapi secara keseluruhan 80 minit adalah baik dan 10 minit terakhir untuk meningkatkan permainan ,” kata jurulatih Real, Xabi Alonso, kepada penyiar DAZN.
Skuad Alonso mendapati diri mereka berada di separuh akhir walaupun Mbappe baharu sahaja memulakan perlawanan di kejohanan itu.
Superstar Perancis itu, yang tidak bermain semasa peringkat kumpulan kerana sakit, kini berharap untuk bermula buat kali pertama apabila Real menentang kelab lamanya dalam pertembungan menarik pada pusingan empat terakhir di tempat yang sama pada Rabu.
“Ia akan menjadi satu cabaran yang hebat untuk kami berdepan PSG tetapi kami ambil yang positif mulai hari ini dan teruskan untuk yang seterusnya,” tambah Alonso.
Sesiapa yang muncul sebagai pemenang daripada perlawanan itu akan menjadi pilihan untuk memenangi edisi sulung pertandingan yang diperluaskan FIFA, dengan Chelsea menentang Fluminense di separuh akhir pada perlawanan berasingan. – AFP


