TURIN, 30 Mei – Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri melabelkan juara 11 kali Real Madrid sebagai pasukan pilihan di final Liga Juara-Juara, tetapi kemudian berkata skuad ‘optimistik’ dari Itali itu mahu membawa pulang trofi itu dari Cardiff Ahad ini.
Masih segar daripada merangkul kejuaraan berganda liga dan Piala, Juve kini mahu melengkapkan trebel musim ini apabila mereka berdepan Real di ibu negara Wales itu.
Final 4 Jun hadir dua tahun selepas kekalahan 3-1 kepada Barcelona di Berlin dalam musim pertama Allegri di kelab itu, kekalahan keenam Juve di final dalam kejohanan itu, satu rekod.
Sementara itu Real telah memenangi trofi itu pada tahun 2014 dan sekali lagi pada musim lepas, menewaskan pesaing bandar Atletico Madrid di pentas final.
“Kami optimistik, tetapi ia tidak kena bagi saya bahawa Juventus adalah pasukan pilihan kerana Real telah memenangi dua gelaran Liga Juara-Juara beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Allegri.

“Mereka sudah biasa bermain di final, begitu juga kami. Kami perlu menerima bahawa mereka adalah pasukan pilihan.”
Ditanya mengenai perbandingan Juventus kini dan dua tahun lalu, dia menambah: “Keyakinan bertambah. Sejak Berlin, kami banyak belajar. Semua orang, dan itu sangat melegakan.
“Kami gembira berada di sini. Secara peribadi, mara ke final adalah kegembiraan besar. Saya bernasib baik untuk dapat duduk di bangku Ahad ini.”
Ditanya adakah ini perlawanan penting dalam kerjayanya, Allegri berkata: “Kedua, pertama adalah ketika kami tewas di Berlin.
“Kali ini kami mahu membawa balik trofi, atau sekurang-kurangnya mencipta keadaan yang membolehkan kami untuk membawanya.”
Juventus mengakhiri musim domestiknya minggu lalu apabila pemain muda, Moise Kean keluar dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol kemenangan di Bologna.
Setelah menamatkan musim dengan kelebihan empat mata di depan Roma, yang berada di tangga kedua Serie A, dan telah memenangi Piala Itali buat kali ketiga berturut-turut dalam kemenangan selesa 2-0 ke atas Lazio, Juve kini mahu mengikut jejak langka Inter Milan, pemenang terakhir trebel Itali pada tahun 2010 ketika kendalian Jose Mourinho.
“Menamatkan dengan 91 mata bukannya mudah, begitu juga memenangi Piala Itali buat kali ketiga berturut-turut, dan ia pastinya bukan muda untuk memenangi Liga Juara-Juara,” kata Allegri. – AFP