Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Real perkasa benteng

    MADRID, 30 SEPT – Revolusi Real Madrid sepatutnya berasaskan kepada kekuatan jentera serangan tetapi keupayaan untuk bertahan menjadi keutamaan skuad Zinedine Zidane menjelang aksi Liga Juara-Juara bertemu Club Brugge, awal pagi Rabu ini.

    Kehadiran Zidane pada penghujung musim lalu mengembalikan semula aura positif kelab itu dengan ramai peminat menjangkakan perpindahan musim panas yang mengagumkan menerusi kehadiran penyerang berbahaya dunia di Santiago Bernabeu.

    Penyerang Tottenham, Harry Kane, Mohamed Salah, Sergio Aguero, Mauro Icardi dan Robert Lewandowski semuanya dikaitkan tetapi pada akhirnya, hanya Luka Jovic yang tiba dan pemain Serbia itu tampak bergelut dan masih memburu jaringan sulung.

    Eden Hazard diberikan tugas mengisi kekosongan ditinggalkan Cristiano Ronaldo tetapi bintang Belgium itu turut bergelut dan dihantui dengan masalah kecederaan.

    “Kami pasti gembira jika dia menjaringkan gol kerana ia akan membebaskannya,” kata Zidane selepas perlawanan tetangga menentang Atletico Madrid, minggu lalu.

    Zidane ketika mengadakan sidang media di Madrid, kelmarin menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Club Brugge. – AFP

    “Tiada masalah dengannya.”

    Kegagalan untuk meledak ketika bertemu Atletico dengan kedua-dua pasukan tampak bergelut untuk memecah kebuntuan memberi petunjuk betapa Real terpaksa mengharapkan keampuhan benteng pertahanan bagi mengurangkan tekanan terhadap pengendalinya.

    “Kami bermain dengan rapat dan sekali lagi kami tidak melepaskan gol. Kami melepaskan beberapa peluang ketika menyerang tetapi kami berada di sana dan kami boleh meningkat.”

    Ini kali pertama Real berjaya menghalang gawangnya daripada dibolosi dalam saingan La Liga di bawah kendalian Zidane tetapi hakikat perit yang perlu ditelan ialah hanya satu cubaan tepat ke gawang berjaya dihasilkan.

    “Bertahan amat penting, ia adalah salah satu daripada perkara asas,” kata Zidane yang skuad kendaliannya dimalukan juara Perancis, Paris Saint-Germain 3-0 dalam saingan pembukaan Liga Juara-Juara dua minggu lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda