Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Real sedia bertemu United tanpa CR7

    SKOPJE, 7 Ogos – Cristiano Ronaldo akhirnya kembali berlatih bersama Real Madrid tetapi juara bertahan Eropah itu dijangka beraksi tanpa bintang Portugal berkenaan pada pertembungan Piala Super UEFA berdepan Manchester United di sini, awal pagi Rabu.

    Musim panas Ronaldo diselubungi dakwaan cuba mengelak cukai di Sepanyol, yang membawa kepada bintang sensasi itu didakwa di mahkamah dekat Madrid minggu lalu dengan dia diberikan sambungan cuti musim panas oleh kelabnya selepas bermain untuk Portugal pada Piala Konfederasi.

    Ronaldo hanya kembali berlatih pada hujung minggu, bermakna ia akan menjadi kejutan besar sekiranya jurulatih Zinedine Zidane menyenaraikan pemain berusia 32 tahun itu berdepan pasukan lamanya dalam perlawanan di Philip II Arena di ibu negara Macedonia itu.

    “Dia perlu berehat. Dia baru habis bercuti dan itu penting,” kata Zidane mengenai pemain yang menjaringkan dua gol untuk membantu Madrid mencatat kemenangan 4-1 mengatasi Juventus pada final Liga Juara-Juara di Cardiff dua bulan lalu.

    Kemenangan itu menyaksikan Real menjadi kelab pertama mengekalkan trofi dalam era Liga Juara-Juara dan melengkapkan kempen menakjubkan dengan turut memenangi La Liga.

    Walaupun Cristiano Ronaldo sudah kembali berlatih bersama skuad, Real akan berjuang tanpa kelibatnya menentang kelab lamanya di Skopye untuk pertembungan Piala Super UEFA. – AFP
    Walaupun Cristiano Ronaldo sudah kembali berlatih bersama skuad, Real akan berjuang tanpa kelibatnya menentang kelab lamanya di Skopye untuk pertembungan Piala Super UEFA. – AFP

    Musim lalu mereka memulakan kempen dengan kemenangan 3-2 selepas tambahan masa berdepan Sevilla pada Piala Super di bandar Norway, Trondheim.

    “Real Madrid sebuah pasukan, sebuah kelab, institusi yang sentiasa mahukan kejayaan. Kami semua tahu di mana kami berada.

    “Apabila anda menamatkan musim seperti tahun lalu, ia membantu ada melakukan perkara sama pada musim baru,” kata Zidane semasa temu bual UEFA dengan pasukannya akan menentang Barcelona pada hujung minggu dalam saingan Piala Super Sepanyol.

    Walau bagaimanapun, pasukannya gagal merakam kemenangan semasa jelajah pra-musim di Amerika Syarikat termasuk aksi persahabatan berprofil tinggi dengan United Jose Mourinho di Santa Clara, California.

    Kejohanan Piala Juara-Juara Antarabangsa berakhir pada seri 1-1 sebelum United menang menerusi penentuan penalti.

    Sementara kelab Sepanyol itu hanya menyambar Dani Ceballos dari Betis dan Theo Hernandez dari Atletico Madrid, United pula berbelanja besar sebelum kembali semula ke Liga Juara-Juara.

    Pemenang Liga Europa itu menguatkan pertahanan dengan Victor Lindelof dari Benfica, midfield Nemanja Matic dari Chelsea dan penyerang Romelu Lukaku dari Everton sehingga menyempurnakan persiapan dengan kemenangan 2-1 atas Sampdoria di Dublin.

    Perlawanan ini memberi peluang kepada United untuk memulakan kempen baru dengan rentak tinggi sebelum aksi pembukaan Liga Perdana menentang West Ham United Ahad depan.

    Dalam karier bergemerlapannya, Mourinho belum memenangi Piala Super dan paling dekat Chelsea beliau kalah dalam penalti kepada Bayern Munich dalam edisi 2013. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda