Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Real XPDC prihatin mahu bantu Ali walau tiada kaitan

    Kumpulan Real XPDC kesal apabila ada pihak menuduh mereka mengabaikan kebajikan vokalis XPDC iaitu Ali yang kini ditimpa masalah kesihatan sehingga memerlukan bantuan kebajikan.

    Tampil menjelaskan salah faham tersebut, wakil Real XPDC iaitu Eddy Badry menegaskan pihaknya tiada sebarang kaitan dengan Ali memandangkan mereka bukanlah daripada kumpulan yang sama. Jelasnya, dia juga tidak mengenali Ali secara rapat apatah lagi berkongsi masalah.

    “Terkejut saya Ali XPDC masuk rancangan Bersamamu TV3, saya tak tahu langsung mengenai hal ini sehingga kelmarin (Isnin). Ramai marah dan mendakwa kami tidak mempedulikan Ali yang pernah menjadi vokalis XPDC. Bukan tak peduli tetapi saya hanya terlibat dengan XPDC ketika arwah Syed Ismail Syed Ibrahim dalam XPDC dan Real XPDC. Ali masuk XPDC ketika saya bersama Mael dalam Real XPDC, saya tidak pernah menguruskan Ali dan tidak pernah rapat dengannya,” katanya ketika dihubungi mStar.

    Real XPDC dianggotai oleh Adeen (vokalis), Zid Kidal (gitar), Alend (dram) dan Yusman (bass). Manakala XPDC pula dianggotai Ali (Vokalis), Izo dan Ariff (gitar), Lola (dram) serta Eddie (bass).

    Bersimpati dengan nasib menimpa Ali, Eddy memberitahu kesemua anggota Real XPDC bersepakat untuk membantu meringankan beban Ali menerusi pemberian sumbangan setiap bulan. Walaupun berbeza kumpulan, Eddy berasa bertanggungjawab membantu Ali memandangkan penyanyi itu banyak berjasa kepada perjalanan seni XPDC secara umumnya.

    “Pernah dulu saya usaha bertemu dengannya di Kuantan. Kami pernah makan dan minum bersama namun selepas itu kami terputus hubungan. Oleh kerana dia ada jasa kepada XPDC, saya tak peduli jika kami rapat ataupun tidak. Saya berbincang dengan anggota Real XPDC untuk ambil sedikit daripada pendapatan kami untuk membantu Ali secara tetap setiap bulan sehingga sembuh. Cadangan ini masih belum disampaikan ke pihak Ali dan kami hanya beritahu di platform media sosial terlebih dahulu,” jelasnya.

    Sebelum ini, Eddy memuat naik perkongsian di Facebook menjelaskan tuduhan dilemparkan terhadap anggota kumpulannya pada Selasa. – Agensi

    Eddy mengaku tidak kenal rapat dengan Ali. – mStar

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda