Saturday, December 21, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Realiti maya bantu jimatkan kos operasi

    PADA hari ini, kita sering dihidangkan dengan perkembangan teknologi realiti maya (Virtual Reality) dan realiti tambahan (Augmented Reality) yang hadir dalam kebanyakan industri yang mengubah kehidupan manusia.

    Kehadiran kedua-dua teknologi ini mengubah suasana kehidupan manusia daripada berbagai aspek termasuk penggunaan ruang, jarak dan kos dalam melakukan sesuatu aktiviti.

    Penggunaan teknologi ini bukan sahaja memberi kesan terhadap industri kecil dan sederhana (IKS) tetapi ke atas perusahaan besar sehingga kepada berbagai jenis dan bentuk perniagaan itu sendiri.

    Kedua-dua teknologi ini menjadikan sesuatu aktiviti dalam perniagaan itu lebih menarik dan industri yang lebih hampir kepada pengguna.

    Dalam erti kata lain, kedua-dua teknologi ini menyediakan aktiviti yang menarik dan memudahkan para pengguna mendapatkan maklumat bagi sesuatu barangan itu walaupun terpisah oleh masa dan jarak.

    Penggunaan teknologi ini bukan sahaja memberi kesan terhadap industri kecil dan sederhana (IKS) tetapi ke atas perusahaan besar sehingga kepada berbagai jenis dan bentuk perniagaan itu sendiri.

    Sebagai contoh, jika sebuah syarikat daripada industri perhotelan menggunakan teknologi realiti maya dan realiti tambahan ini, sudah pasti para pengguna akan dapat melihat dengan lebih jelas kemudahan yang tersedia dalam hotel tersebut berbanding mereka yang tidak menceburi teknologi tersebut.

    Pada masa ini, berbagai jenis syarikat yang berteraskan teknologi terkemuka di dunia berusaha untuk memperkenalkan produk mereka yang berasaskan realiti maya bagi menjana kemajuan industri lain

    Ia termasuk yang masih dalam bentuk konsep atau prototaip hingga yang sudah menjadi produk yang sedia untuk digunakan.

    Berkembang pesat

    Syarikat-syarikat pengeluar teknologi realiti maya dan realiti tambahan kini melihat bahawa trend ini sedang berkembang pesat berbanding pada tahun-tahun sebelumnya.

    Ia menjadi pemangkin ekonomi berasaskan digital iaitu kebanyakan syarikat dan entiti perniagaan cuba beroperasi berasaskan strategi yang mementingkan penjimatan kos serta berimpak tinggi.

    Bahkan, mungkin akan jauh lebih menarik apabila teknologi ini dan kegunaannya yang dapat menawarkan satu keadaan iaitu dengan adanya teknologi dan konsep realiti maya tersebut akan menjadikan pengguna lebih hampir dengan sesuatu jenama dan barangan yang mereka gunakan.

    Memang jelas bahawa teknologi realiti maya ini akan menawarkan kaedah yang lebih efektif dan kreatif dalam pemasaran sesuatu produk dan menjaga hubungan pelanggan.

    Dengan adanya teknologi ini, sesebuah organisasi dapat menjimatkan lebih daripada separuh kos operasi mereka, contohnya universiti yang menawarkan bidang kedoktoran dapat menjimatkan kosnya apabila para pelajar kini mempelajari bidang pembedahan melalui teknologi realiti maya.

    Hal yang sama juga berlaku kepada syarikat kimpalan bawah laut yang melatih pekerja mereka melalui teknologi realiti maya.

    Apa yang pasti, perkara-perkara yang kita jalankan dalam kehidupan sehari-harian dapat dilakukan melalui realiti maya.

    Teknologi ini juga membuka lembaran baharu dalam bidang latihan susun atur ruang perniagaan dalam bidang peruncitan.

    Selain itu, ia membolehkan latihan diberikan kepada pekerja baharu dalam bidang peruncitan dengan impak yang lebih positif pada kos lebih rendah.

    Dengan menggunakan teknologi realiti maya ini, organisasi perniagaan tidak memerlukan ruang yang besar untuk beroperasi.

    Sebagai contohnya, sebuah taman tema terkenal di Korea Selatan dapat menjimatkan ruang operasi apabila mula memperkenalkan permainan roller coster realiti maya bagi menggantikan permainan sama secara konvensional.

    Keadaan ini juga menawarkan pengalaman yang lebih menarik dan selamat bagi pengguna dalam kos yang minimum bagi pengendali taman tema tersebut.

    Tidak seperti internet yang menjarakkan kita daripada dunia nyata, teknologi realiti maya dan realiti tambahan menggabungkan benda maya, baik dalam keadaan dua dimensi mahupun tiga dimensi.

    Disalahgunakan

    Perkara-perkara yang kita jalankan dalam kehidupan sehari-harian dapat dilakukan melalui realiti maya.

    Ini tidak pernah terlintas di fikiran kita sebelum ini, kini sebahagian besar populasi di dunia serba maju hari ini akan memiliki pengalaman menggunakan teknologi ini dalam setiap urusan kehidupan seharian mereka.

    Berbagai jenis model perniagaan baharu juga dapat diperkenalkan dengan kehadiran teknologi realiti maya ini.

    Kita boleh melihat contoh yang terkini dalam bidang pelancongan. Penonton boleh merasai suasana persekitaran sebenar melalui penggunaan teknologi realiti maya.

    Bagaimanapun, penerapan teknologi realiti maya hari ini perlulah diurus dengan bijak agar ia membawa implikasi yang positif dan tidak disalahgunakan yang akhirnya akan memudaratkan sesebuah masyarakat itu sendiri. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda