Fenomena drama Viu Original Reborn Rich sekali lagi melonjakkan nama pelakon terkenal Korea Selatan, Song Joong Ki selepas berjaya menambat hati peminat menerusi The Descendants of the Sun dan Vincenzo.
Buktinya, kehadiran Joong Ki di Resort World Sentosa (RWS), Singapura baru-baru ini disambut dengan teriakan peminat sebaik sahaja pelakon itu naik ke atas pentas bagi menyapa mereka.
Malah mereka sanggup menunggunya seawal pukul 7 pagi di lokasi tempat sidang media diadakan bagi melihat sendiri aktor kesayangan mereka dengan lebih dekat.
Tak cukup dengan itu, Joong Ki turut turun daripada pentas bagi menyapa peminat dan meluangkan masa mengambil swafoto bersama peminat bertuah.
Sikap peramah ditunjukkan aktor tersebut berbeza dengan watak Yoon Hyeon Woo yang dilakonkan dalam Reborn Rich – seorang lelaki yang berdendam atas pembunuhan dirinya.
Hyeon Woo dilahirkan semula sebagai Jin Do Joon dalam sebuah keluarga konglomerat dan terus merancang untuk membalas dendam.
Kali terakhir Joong Ki muncul dalam drama bertemakan dendam dan khianat menerusi Vincenzo yang disifatkan penonton menyukai drama genre tersebut.
“Saya rasa orang suka drama bertemakan balas dendam kerana ia adalah salah satu cara mereka meluahkan perasaan tetapi menerusi orang lain.
“Tetapi sebagai seorang Song Joong Ki itu bukan karakter saya yang sebenar,” katanya kepada wartawan yang berpeluang menemu bual aktor berkenaan secara eksklusif baru-baru ini di Singapura.
Dalam pada itu, Joong Ki memberitahu dia juga tidak mahu dilahirkan semula sebagai seorang hartawan seperti mana wataknya dalam Reborn Rich kerana menganggap ia hanya menimbulkan konflik dalam keluarga. – Agensi


