Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Umat Islam di negara ini terus menyemarakkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan rahmat ini dengan pelbagai aktiviti keagamaan khususnya bertadarus Al-Quran bagi merebut ganjaran pahala yang berlipat
ganda.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Sungai Besar telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sebagai menyatakan rasa syukur selepas menghabiskan pembacaan 30 juzuk Al-Quran di masjid berkenaan.
Ketua Kampung Sungai Besar, Serdang dan Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Haji Awang Zaini bin Haji Awang Damit dan Penasihat AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Mohiddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman hadir menyertai majlis tersebut.
Majlis bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim yang bermula daripada Surah Ad-Dhuha sehingga Surah An-Nas yang diketuai oleh Awang Abdul Rahim bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Tamin.
Kemudian, majlis diselajurkan dengan majlis bertahlil yang dikepalai oleh Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Muhammad Hazman bin Haji Mohd Hairol Azme.
Selain memperolehi pahala yang berlipat ganda, kelebihan membaca Al-Quran termasuk diangkat darjat pembaca di samping dikurniakan ketenangan, pertolongan dan syafaat di hari kiamat.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P3-2Sg-Besar_01042023.jpg)