Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Umrah atau ziarah ke tanah suci Mekah amat dituntut sepanjang Ramadan, kerana ibadat itu dikerjakan di tempat suci iaitu Mekah dan pada bulan mulia, Ramadan, lebih-lebih lagi jika dilakukan pada sepuluh malam terakhir pada bulan tersebut.
Kerana itu, tidak hairanlah tanah suci itu akan dipenuhi dengan para jemaah termasuk dari Negara Brunei Darussalam untuk mencari kelebihan malam Lailatulqadar.
“Bayangkan pahala yang berlipat ganda jika kita beribadat pada malam berkenaan. Pahalanya menyamai seperti beribadat seribu bulan, ditambah dilaksanakan di tanah suci,” ujar salah seorang jemaah dari Brunei yang akan mengerjakan umrah di bulan Ramadan mengikuti pakej Syarikat Straits Central Agencies (SCA), Hajah Wardati binti Haji Yakob.
“Alhamdulillah, perancangan kami untuk mengerjakan umrah pada 10 hari/malam terakhir di bulan Ramadan Alhamdulillah tercapai, perancangan berkenaan sudah dirancang sejak tahun lepas,” ujarnya lagi ketika ditemu bual sebelum berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.
Imam Masjid Universiti Brunei Darussalam (UBD), juga selaku wakil Syarikat SCA, Haji Ahmad Tarmiji bin Haji Mohd Daud pula memberitahu, jemaah umrah SCA yang meninggalkan Negara Brunei Darussalam adalah seramai 60 orang.
Jemaah berkenaan dibahagikan kepada dua bahagian, sebahagian daripada mereka akan pergi ke Medinah dan Mekah, jelasnya, ini kerana untuk mengelakkan kesesakan hotel dan bagi memudahkan khidmat mereka, maka dengan cara berkenaan ia dapat lagi memudahkan ibadah mereka.
Jemaah pertama yang berada di Mekah akan mengerjakan umrah dalam beberapa hari, mereka akan bertolak ke Medinah, manakala mereka yang berada di Medinah pula akan bertolak Mekah untuk mengerjakan umrah.
“Alhamdulillah, ini keuntungan besar bagi penduduk Brunei yang mana sebahagian daripadanya dijemput oleh Allah S.W.T sebagai tetamu-Nya, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang Mubarak. Dan Insya-Allah pahala yang diberikan ketika mengerjakan umrah adalah seumpama pahala mengerjakan satu Haji,” tambahnya.