Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Bagi merebut ganjaran pahala bagi kesempurnaan solat sebelum menjelang bulan Ramadan serta menambah ilmu cara-cara solat yang sempurna dan betul, Program Bengkel Kesempurnaan Solat 2025 telah diadakan baru-baru ini di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba.
Bengkel anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru dengan kerjasama Unit Tarbiyyah Sekolah Alif Sdn Bhd itu turut dihasrat dapat mengeratkan silaturahim dan ukhwah di antara guru, kakitangan, ibu bapa serta pelajar dan seterusnya memaksimumkan keterlibatan ibu bapa dan guru dalam menjayakan misi dan visi sekolah.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu, Ketua Kampung Rimba Kawasan 1, Awang Puspawira bin Haji Mohd Noor.
Bengkel tersebut diserikan dengan ceramah bertajuk Jadikan Aku dan Zuriatku Mendirikan Solat yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Haji Mohd Syahiran bin Haji Mohd Sofian.