Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rebut ganjaran solat Jumaat

    ANTARA nikmat Allah SWT yang sangat hebat kepada orang Islam adalah hari Jumaat. Hari yang mana Allah menjadikannya sebagai rahmat. Satu hari yang mana Allah menjadikannya sebagai ‘Hari Raya’ bagi seluruh umat Islam, mengosongkan waktu mereka semata-mata untuk beribadah kepada Allah.

    “Jumaat juga adalah hari Allah SWT menyembunyikan dan menyesatkan orang Yahudi serta Nasrani daripada Nabi Muhammad SAW, tetapi Allah telah membuka dan diberikan rahmat kepada kekasih-Nya iaitu Nabi Muhammad dan umat baginda,” kata penceramah terkemuka antarabangsa, Habib Musa al-Khazim Jaa’far As-Saggaf.

    Pendakwah dari Tarim, Yemen itu berkata, hari Jumaat lebih hebat daripada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha kerana syiar pada kedua-dua hari raya itu adalah sunah berbanding solat Jumaat yang diletakkan sebagai fardu ain buat kaum Muslimin. Jelasnya, sekiranya khutbah dan solat pada Hari Raya Aidilfitri adalah sunah mengikut Mazhab Syafie, justeru meninggalkannya adalah tidak haram dan tidak berdosa. Namun dua rakaat solat Jumaat dan khutbah pada hari Jumaat adalah fardu ain untuk dilaksanakan.

    Tambahnya, jika seseorang Muslim itu meninggalkan solat Jumaat selama tiga kali berturut-turut tanpa uzur yang munasabah, maka Allah akan meletakkan tanda munafik dalam hatinya .Sehubungan itu, Jumaat merupakan satu hari yang sangat hebat kepada umat Islam, malah melebihi dua hari kebesaran umat Islam iaitu Aidiladha dan Aidilfitri. Sekiranya Aidiladha lebih besar daripada Aidilfitri kerana kita melakukan pe-ngorbanan untuk Allah SWT, tetapi pada hari Jumaat adalah sebaliknya apabila Allah SWT memberi ganjaran ‘penyembelihan’ kepada umat Islam yang mengerjakan solat Jumaat.

    Imbuhan kepada siapa yang datang pada awal waktu Jumaat yang pertama, dia seumpama telah menyembelih seekor unta, manakala mereka yang hadir pada waktu kedua seperti menyembelih seekor lembu dan tiba pada waktu ketiga seperti menyembelih seekor kambing. “Pengiraan masa itu bukanlah waktu jam kebiasaan kita iaitu 60 minit, tetapi waktu tersebut adalah dikira daripada selepas fajar atau selepas tergelincir matahari mengikut fahaman mazhab-mazhab yang ada,” katanya.

    Tambah Habib Musa, pada hari raya umat Islam akan mengenakan pakaian atau baju yang paling baharu untuk melakukan solat hari raya, tetapi pada hari Jumaat, umat Islam digalakkan memakai sebaik-baik pakaian iaitu berwarna putih. Tegas beliau, sekiranya umat Islam mahu mendapat berkat yang hebat dan besar pada hari Jumaat, maka mereka perlu menjaga lima perkara terutama dalam bulan Ramadan atau lebih-lebih lagi sebulan sebelum Ramadan.

    “Pertama, lakukan mandi sunat Jumaat iaitu sebelum menunaikan solat Jumaat seperti yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Mandi solat Jumaat mampu menggugurkan dan mengeluarkan dosa daripada rambut sehinggalah setiap anggota badan.

    “Keduanya, hendaklah bersungguh-sungguh datang menunaikan solat Jumaat iaitu tiba sebelum imam naik ke atas mimbar dan mengucapkan kalimah Assalamualaikum. Jika dilakukan seumpama itu, malaikat akan menulis bahawa kamu telah hadir solat Jumaat. “Terdapat malaikat mencatat amalan bagi mereka yang datang awal untuk melakukan solat Jumaat. Mereka (malaikat) memiliki pen emas dan kertas emas untuk menulis orang-orang yang datang awal bersolat Jumaat. Malaikat akan mula menutup buku emas itu dan tidak lagi menulis nama sesiapa sebaik sahaja imam naik ke mimbar untuk memberi khutbah dan memulakan khutbah dengan memberi salam,” katanya.

    Tambahnya, perkara ketiga yang dituntut ke atas umat Islam untuk diamalkan adalah membaca surah al-Kahfi. Jika tidak mampu membaca sepenuhnya, bacalah sebahagiannya atau 10 ayat sahaja atau tiga ayat daripada surah itu kerana berkat surah al-Kahfi adalah sangat hebat dan besar termasuk dipelihara daripada fitnah dajal akhir zaman.

    Keempat, mengamalkan membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq serta an-Nas sebanyak tujuh kali selepas solat Jumaat kerana Allah akan memberi pahala sebanyak mungkin, selain memelihara orang yang mengamalkan surah itu daripada keburukan dan kejahatan sehingga hari Jumaat seterusnya. “Allah memberi pengampunan kepadanya bermula dari Jumaat hingga Jumaat yang akan datang dan ditambah lagi tiga hari. Lihatlah keberkatan daripada surah ini yang sangat hebat.

    Perkara kelima yang boleh diamalkan pada hari Jumaat adalah memperbanyakkan selawat dan salam kepada Baginda Nabi Muhammad SAW. Buatlah sebanyak 100 kali atau 300 kali mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda