Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rebut keistimewaan Hari Arafah

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Hari Arafah merupakan hari dikurniakan rahmat dan keberkatan serta diperkenankan segala doa.

    Oleh itu, kita disunatkan untuk memperbanyakkan zikir seperti tahmid, tasbih, tahlil, membaca Al-Quran, beristighfar serta berdoa dengan penuh rasa pengabdian dan keinsafan.

    Perkara itu antara yang dijelaskan oleh khatib dalam khutbah Jumaat, hari ini, bertajuk Keistimewaan Hari Arafah.

    Khatib seterusnya menjelaskan Hari Arafah jatuh pada tanggal 9 Zulhijah setiap tahun dan ia termasuk antara hari yang paling utama dan istimewa.

    Hari Arafah merupakan hari pengampunan dosa dan pembebasan daripada balasan seksa api neraka.

    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Maka, perbanyakanlah berdoa kepada Allah SWT terutamanya dalam memohon keampunan daripadaNya dan memohon keselamatan daripada seksa kubur serta diselamatkan daripada azab seksa api neraka.

    “Seperkara lagi yang sangat dianjurkan untuk kita lakukan ialah berpuasa pada Hari Arafah. Maka beruntunglah bagi mereka yang telah melaksanakan puasa sunat Arafah.

    “Rasulullah SAW dalam hadis Baginda ada menyebutkan mengenai fadilat puasa sunat Arafah. Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda daripada hadis riwayat Imam Muslim yang bermaksud ‘Puasa Hari Arafah, aku memohon kepada Allah agar menebus dosa-dosa setahun sebelumnya serta setahun selepasnya’.

    “Hadis ini bermaksud bahawa mengerjakan puasa sunat Arafah itu diberikan ganjaran pengampunan dosa-dosa setahun sebelum Hari Arafah yang lalu serta setahun selepas Hari Arafah yang akan datang,” jelas khatib.

    Beliau turut menyatakan Hari Arafah adalah hari perkumpulan umat Islam yang terbesar dari seluruh dunia. Umat Islam wuquf di Arafah sambil mengucapkan talbiah, memohon doa dan kurniaan Allah SWT, sambil mengharap rahmatNya dan memohon dijauhkan daripada azabNya.

    Selain itu, khatib juga menekankan bahawa sesungguhnya wuquf di Padang Arafah mengandungi pelbagai hikmah antaranya menghayati persaudaraan seagama, menyedari pentingnya perpaduan, menginsafi tentang kematian dan mengingati perhimpunan di Padang Mahsyar.

    Dalam pada itu, khatib seterusnya menyeru umat Islam untuk memanfaatkan kesempatan pada Hari Arafah ini untuk memperbanyakkan berdoa dan juga menanamkan dalam diri semangat ‘Arafah’ setiap hari dengan sentiasa membersihkan hati, menyesali dosa, mempererat persaudaraan, melakukan amal kebaikan dan menanam azam takwa yang sebenar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda