Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Mempelajari dan membaca Al-Quran merupakan nadi ibadah yang sangat dituntut oleh agama Islam dan mendampinginya akan memperolehi rahmat dan perlindungan daripada Allah SWT.
“Dalam konteks keberkatan bertadarus Al-Quran di masjid, ibadah berkenaan sangat signifikan terutama dalam mengeratkan hubungan di samping merebut pahala berganda beriktikaf di masjid”.
Perkara ini ditekankan oleh Ketua Kampung Sungai Besar, Serdang dan Sungai Belukut, Leftenan Kol (B) Haji Awang Zaini bin Haji Awang Damit pada majlis khatam Al-Quran bagi jemaah tadarus subuh di Masjid Kampung Sungai Besar, hari ini.
Beliau yang juga merangkap Setiausaha Ahli Jawatan-kuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Sungai Besar turut menyatakan bahawa ibadah bertadarus Al-Quran juga memperolehi rahmat dengan dikurniakan hati yang tenang di samping mendapat perlindungan daripada kejahatan dunia dan dikurniakan syafaat di akhirat.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan diikuti dengan bacaan surah-surah lazim yang bermula daripada Surah Ad-Dhuha sehingga Surah An-Nas yang diketuai oleh Awang Abdul Rahim bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Tamin yang juga memimpin bacaan tahkim.
Doa Selamat telah dibacakan oleh Ketua Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Hanafiah bin Haji Mahmud.


