Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Suku kedua Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan pertumbuhan positif 2.8 peratus.
Pertumbuhan tersebut disumbangkan oleh peningkatan sektor bukan minyak dan gas sebanyak 8.1 peratus dengan sektor minyak dan gas mencatat penurunan sebanyak 1.3 peratus.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah telah mengongsikan pandangan beliau mengenai pertumbuhan positif itu semasa sesi soal jawab pada Sidang
Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
“Kami baru saja menerbitkan KDNK suku kedua kami dan dibandingkan dengan suku pertama, suku pertama meningkat 2.4 peratus dari tahun ke tahun. Oleh itu, pada suku kedua, kita mengalami peningkatan KDNK tahun ke tahun sebanyak 2.8 peratus. Prestasi yang lebih baik,” kongsinya.
Menurut Yang Berhormat Dato, Brunei sangat bertuah kerana mendapat pertumbuhan positif tersebut.
Apa yang menyumbang kepada pertumbuhan positif itu, katanya, adalah terutamanya daripada sektor bukan minyak dan gas, di mana misalnya dalam bidang pertanian menunjukkan pertumbuhan yang cukup positif. “Bahagian utama (pertumbuhan) ini berasal daripada aktiviti hiliran minyak dan gas kita, yang datang daripada projek Hengyi.
“Seperti yang anda ketahui, projek Hengyi mula beroperasi sepenuhnya sekitar akhir tahun lalu dan pada masa ini, mereka sudah hampir beroperasi secara penuh. Jadi ia jelas, diban-
dingkan dengan tahun lalu semasa kita belum mempunyai pengeluaran itu, oleh itu ia menunjukkan peningkatan yang ketara,” jelas beliau.
Mengulas mengenai peningkatan aktiviti ekonomi, negara juga melihat pekerjaan baharu ditawarkan.
“Oleh itu, kami melalui Job Center Brunei, dari awal tahun ini hingga hari ini, telah melihat kira-kira 4,500 pekerjaan diadakan,” katanya.
Menurut Yang Berhormat Dato, setakat ini, mereka hanya berjaya merekrut sekitar 2,300 orang. Oleh itu, masih terdapat lebih daripada 2,000 jawatan kosong di luar sana.
Sehubungan itu, beliau berharap mereka yang masih menganggur akan berusaha memanfaatkan kekosongan jawatan yang ada itu.
“Satu perkara ialah untuk mendapatkan pertumbuhan KDNK seperti yang kita laporkan, tetapi kita juga berharap agar ini dapat mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan penduduk tempatan kita akan memanfaatkan pertumbuhan ekonomi yang positif ini dan mengambil jawatan kosong itu jika pekerjaan itu sesuai dengan kelayakan mereka dan sebagainya,” jelas beliau.