Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rebut Peluang Mempergiatkan Tadarus al-Qur’an Di Bulan Ramadhan

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    (Siri 1)

    Bulan Ramadhan, di samping umat Islam melaksanakan ibadat puasa, juga merupakan antara waktu yang sangat dianjurkan untuk meningkatkan ketaatan dan amal ibadat yang lain seperti sembahyang, amalan-amalan sunat serta amalan yang berkebajikan seperti bersedekah, menyediakan makanan berbuka puasa bagi orang yang berpuasa, berbuat baik, berlaku ihsan serta bermurah hati lebih-lebih lagi kepada ahli keluarga, kaum kerabat dan jiran tetangga.

    Malahan, satu kebajikan yang dilakukan di dalam bulan Ramadhan ini adalah afdhal (lebih baik) berbanding kebajikan yang sama itu dilakukan pada bulan-bulan yang lain.

    Selain itu, sepanjang bulan Ramadhan adalah waktu yang dianjurkan untuk memperbanyakkan bacaan al-Qur’an serta i‘tikaf, malahan kita digalakkan untuk mempertingkatkannya dengan lebih bersungguh-sungguh (tekun) pada sepuluh terakhir Ramadhan.

    Anjuran memperbanyakkan membaca al-Qur’an tersebut, mengisyaratkan kepada kita bahawa bulan Ramadhan merupakan peluang terbaik untuk mempergiatkan bacaan al-Qur’an, memperelokkannya atau menghalusinya, sama ada secara bersendirian ataupun halaqah-halaqah tadarus yang diadakan sepanjang bulan Ramadhan.

    FADHILAT MEMBACA AL-QUR’AN

    Disebutkan dalam Kitab I‘anah ath-Thalibin bahawa menurut Sayyid al-Habib ‘Abdullah al-Haddad Rahimahullah dalam buku beliau Nasha’ih ad-Diniyyah, membaca al-Qur’an al-Karim merupakan seafdhal-afdhal ibadat, sebesar-besar atau sehebat-hebat taqarrub perbuatan serta amalan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, setinggi-tinggi ketaatan, perolehan ganjaran yang hebat lagi besar dan pahala yang berlipat ganda beserta kemuliaan.

    Gambar Canva

    Al-Qur’an akan datang pada hari Kiamat sebagai pemberi syafa‘at bagi orang yang membacanya, sebagaimana dalam sebuah riwayat daripada Abu Umamah al-Bahiliyy Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya: Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bacalah oleh kamu al-Qur’an, sesungguhnya (al-Qur’an) itu datang pada hari Kiamat menjadi syafa‘at kepada pembacanya.”
    (Hadits riwayat Muslim)

    Amatlah rugi bagi orang-orang yang kurang gemar membaca al-Qur’an kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam banyak menyebut dalam hadits-hadits Baginda tentang faedah dan fadhilat membaca al-Qur’an, antaranya sepertimana berikut:

    1. Pembaca al-Qur’an dinaungi dengan payung rahmat, dikelilingi oleh para malaikat dan diturunkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepadanya ketenangan dan kewaspadaan.

    2. Pembaca al-Qur’an dikurniakan hatinya dengan cahaya oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan dipeliharaNya dari kegelapan.

    3. Pembaca al-Qur’an tidak bergundah hati dan terlepas dari kesusahan-kesusahan di hari Kiamat, kerana dia sentiasa dalam pemeliharaan dan penjagaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    4. Pembaca al-Qur’an diumpamakan seperti buah utrujjah, sejenis buah yang harum bau dan enak rasanya.

    5. Pembaca al-Qur’an memperolehi kemuliaan dan diberi rahmat kepada ibu bapanya.

    6. Pembaca al-Qur’an memperolehi kedudukan yang tinggi dalam syurga.

    AL-QUR’AN DAN BULAN RAMADHAN

    Membaca al-Qur’an merupakan ibadat yang boleh dilaksanakan dan diamalkan pada bila-bila masa, sama ada di dalam sembahyang mahupun di luar sembahyang.

    Tidak terdapat waktu-waktu yang makruh mahupun yang dilarang untuk membaca al-Qur’an. Bagaimanapun waktu yang paling afdhal untuk membaca al-Qur’an adalah membacanya di dalam sembahyang.

    Menurut ulama Syafi‘iyyah dan selain mereka, memanjangkan (tempoh atau masa) berdiri dalam sembahyang kerana membaca al-Qur’an adalah afdhal berbanding memanjangkan (tempoh atau masa) sujud dan selain sujud dalam sembahyang.

    Anjuran membaca al-Qur’an di luar sembahyang pula boleh dilaksanakan di mana-mana tempat yang bersesuaian sekiranya seseorang itu mampu membacanya dengan tadabbur.

    Ketika membaca al-Qur’an, afdhal melihat atau memandang kepada mushaf. Disunatkan juga untuk menghadap Kiblat serta menyaringkan suara ketika membaca al-Qur’an, dengan syarat pembacanya terpelihara daripada riya’ dan terpelihara daripada mengganggu orang yang sedang sembahyang atau yang sedang tidur.

    Manakala hubungan al-Qur’an dan Ramadhan pula antaranya ialah disunatkan memperbanyakkan membaca al-Qur’an di bulan Ramadhan beserta tadabbur, lebih-lebih lagi pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.

    TADARUS AL-QUR’AN DI BULAN RAMADHAN

    Selain itu, dianjurkan juga bertadarus (mudarasah) al-Qur’an di bulan Ramadhan. Yang dimaksudkan dengan tadarus itu ialah seorang pembaca membacakan dan diperdengarkannya bacaan ayat-ayat al-Qur’an kepada pendengar yang lain.

    Setelah itu, giliran pendengar tadi pula untuk membacakan ayat al-Qur’an lalu diperdengarkannya kepada pembaca pertama tadi dan selainnya, sama ada ayat yang dibacakan adalah ayat yang serupa dengan apa yang telah dibacakan oleh pembaca pertama ataupun ayat yang berlainan. Atau membaca al-Qur’an secara bergilir-gilir.

    Cara yang telah disebutkan di atas adalah berdasarkan sebuah hadits shahih bahawa malaikat Jibril ‘Alaihissalam menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pada setiap kali datangnya bulan Ramadhan pada setiap malam sehinggalah akhir Ramadhan untuk membaca al-Qur’an bersama Baginda.

    Ibn ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma meriwayatkan seperti berikut yang maksudnya: “Bahawasanya Malaikat Jibril ‘Alaihissalam datang menemui Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam pada setiap malam di bulan Ramadhan sehinggalah berakhir (Ramadhan), Malaikat Jibril ‘Alaihissalam membacakan al-Qur’an pada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.” (Hadits riwayat al-Bukahri)

    Tadarus juga difahami dalam bentuk yang lebih umum, iaitu semua yang berkaitan dengan mempelajari dan mendalami al-Qur’an dan termasuk juga mengajarkannya, seperti para pembaca al-Qur’an membaca dan saling memperdengarkan bacaan ayat-ayat al-Qur’an sesama mereka, memperbetulkan lafaz-lafaz dan mengetahui (memahami) makna-makna al-Qur’an atau mempelajari al-Qur’an supaya melatih diri agar tidak lupa dan seumpamanya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda