(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
(Siri 2)
GANJARAN MEMBACA AL-QUR’AN DI BULAN RAMADHAN
Orang yang membaca al-Qur’an telah dijanjikan dengan ganjaran yang hebat lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan.
Antaranya sepertimana dalam sebuah hadits daripada ‘Abdullah bin ‘Amru Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: Puasa dan al-Qur’an kedua-duanya itu akan memberikan syafa’at kepada seorang hamba pada hari Kiamat nanti.
Puasa akan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menghalangnya dari makanan dan nafsu syahwat sepanjang hari, kerana itu perkenankanlah bagiku untuk memberikan syafa’at kepadanya.”
Dan al-Qur’an pula berkata: “Aku telah menahannya dari tidur pada malam hari, kerana itu perkenankanlah bagiku untuk memberikan syafa’at kepadanya.” Maka syafa’at keduanya diperkenankan. (Hadits riwayat Ahmad)
Berdasarkan hadits di atas, Allah Subhanahu wa Ta‘ala memperkenankan permohonan syafa‘at tersebut di akhirat kelak lalu hamba tersebut dimasukkan ke dalam Syurga.
MEMBACA AL-QUR’AN DENGAN TADABBUR
Disebutkan dalam kitab at-Tibyan fi Adab Hamlat al-Qur’an karangan Imam an-Nawawi Rahimahullah, adab ketika membaca al-Qur’an antaranya ialah disunatkan membacanya dengan khusyuk, tadabbur serta memahami isi kandungannya.
Inilah maksud atau tujuan yang paling besar dan perkara paling penting yang dituntut. Membaca al-Qur’an dengan cara ini boleh melapangkan dada dan memberi cahaya kepada hati.
Di dalam kitab tersebut juga telah dinukilkan kata-kata daripada as-Sayyid Ibrahim al-Khawwash Radhiallahu ‘anhu bahawa membaca al-Qur’an dengan tadabbur itu adalah ubat kepada penyakit hati.
Menyentuh mengenai adab membaca al-Qur’an yang pertama di atas, iaitu membacanya dengan khusyuk.
Antara cara untuk mencapainya ialah dengan menghadirkan makna ayat al-Qur’an ketika membacanya kerana cara ini boleh membawa kepada khusyuk.
Ia juga dikatakan sebagai tadabbur, iaitu merenung dan mengamati dengan menumpukan perhatian pada makna ayat-ayat suci al-Qur’an.
Adab yang seterusnya, iaitu tadabbur. Antara pengertian tadabbur itu juga ialah melihat dan merenung akan (bagaimana) kesudahan (akibat-akibat) daripada sesuatu perkara.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya: (Al-Qur’an ini ialah) sebuah kitab yang Kami telah turunkan kepadamu (Wahai Nabi Muhammad), yang mengandungi berkat supaya mereka memikirkan dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang mempunyai akal dapat mengambil pengajaran. (Surah Saad: 29)
Dalam kitab Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim, Ibn Katsir Rahimahullah menukilkan perkataan
al-Hasan al-Basri Rahimahullah tentang ayat ini.
Beliau (al-Hasan) menegaskan: Demi Allah! Tadabbur al-Qur’an itu bukanlah dengan menghafal huruf-hurufnya akan tetapi mengabaikan batasan-batasan hukumnya, sehingga ada yang mengatakan: “Aku telah membaca al-Qur’an keseluruhannya”, namun al-Qur’an itu tidak nampak dalam akhlak dan amal perbuatannya.
Kesimpulannya, tadabbur itu ialah menumpukan hati dan fikiran pada makna perkataan atau ayat yang dilafazkan lalu diketahui makna setiap ayat.
Memerhatikan segala perintah dan juga larangan, beriktikad untuk menerima dan mentaati perkara-perkara tersebut.
Sekiranya perkara yang disebutkan ini sesuatu yang pernah dicuaikan atau dilanggar pada masa lalu, maka dipohonkan keampunan (beristighfar).
Apabila dia membaca atau merenung ayat mengenai rahmat, maka dia merasa gembira (sukacita) lalu dia memohon dan meminta; ataupun ayat azab, maka dia merasa takut, gerun dan berta‘awwudz memohon perlindungan untuk dijauhkan perkara itu; ataupun ayat tanzih mensucikan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dari menyerupai makhluk, maka dia mengagungkan, memuji dan mensucikan Allah Subhanahu wa Ta‘ala; ataupun ayat do‘a (permohonan) maka dia memohon serta berkehendak (berhajat) kepadanya.
MENTAFSIRKAN AL QUR’AN BERDASARKAN PANDANGAN SENDIRI
Menyentuh adab yang ketiga daripada adab-adab membaca al-Qur’an seperti yang dinukilkan daripada kitab at-Tibyan, iaitu memahami isi kandungannya.
Bagi mereka yang tidak mahir berbahasa Arab, antara cara untuk memahami isi kandungan al-Qur’an itu adalah dengan membaca tafsir ayat yang diambil daripada kitab-kitab tafsir yang muktabar dan boleh dii‘timadkan (dipegang).
Bagaimanapun semenjak akhir-akhir ini, telah muncul pihak dan individu tertentu yang membaca ayat-ayat al-Qur’an lalu mentafsirkan al-Qur’an itu dengan pendapat-
pendapat mereka sendiri tanpa dalil yang sahih.
Dalam kitab at-Tibyan, disebutkan bahawa mentafsir al-Qur’an tanpa ilmu, dan berbicara (bercakap) tentang makna-makna al-Qur’an bagi sesiapa yang bukan ahlinya (tiada ilmu mengenainya) hukumnya adalah haram.
Terdapat banyak hadits larangan mengenai perkara ini dan ulama juga telah sepakat (ijma‘) mengenainya.
Sementara itu, orang yang bukan ahlinya kerana tidak mempunyai alat-alatnya (kemahiran ilmu-ilmu yang berkaitan), maka haram ke atasnya mentafsirkan makna al-Qur’an.
Bagaimanapun dia dibolehkan untuk menukil tafsir al-Qur’an dari ahlinya yang layak dan muktabar.
Di samping itu adalah tidak memadai menafsir al-Qur’an dengan mengetahui bahasa Arab sahaja, bahkan hendaklah mengetahui apa yang telah dikatakan oleh ahli tafsir mengenainya.
Ada kalanya mereka telah bersepakat untuk meninggalkan makna yang zahir umpamanya dan bersepakat menentukan makna suatu lafaz itu dengan makna yang lain (berbeza
daripada zahirnya) dan perkara-perkara selainnya.
Oleh yang demikian, hendaklah berhati-hati dalam memahami isi kandungan al-Qur’an apatah lagi untuk membuat tafsiran sendiri.
Hendaklah merujuk kepada sumber yang muktabar, kitab-kitab Tafsir daripada ulama yang dii‘timadkan keilmuannya dalam bidang tafsir al-Qur’an.
Sebagai kesimpulan, di samping menitik beratkan dan menjaga kesempurnaan ibadat puasa di siang hari bulan Ramadhan, janganlah diabaikan dan dipandang ringan pembacaan al-Qur’an.
Disunatkan untuk lebih tekun dan memperbanyakkan bacaan al-Qur’an dalam bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini, sama ada secara bersendirian ataupun secara bertadarus, lebih-lebih lagi pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.
Bertadarus al-Qur’an itu tidak terhad dalam bentuk saling memperdengarkan bacaan al-Qur’an atau secara bergilir-gilir, akan tetapi ia juga diertikan dalam bentuk yang lebih umum lagi seperti mengajarkannya, mempelajarinya, mendalaminya, mengetahui
(memahami) makna-maknanya, memperbetulkan kesilapan bacaan dan seumpamanya.