Thursday, May 2, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Rebut peluang perdalam ilmu penerbitan filem

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Berbekalkan semangat dan kecekalan hati untuk memperdalam ilmu penerbitan filem, Dayang Siti Seri Leila Imelda Farrah Zohre binti Haji Abdullah atau lebih mesra disapa dengan nama Imelda, telah berjaya menamatkan International Film Business Academy Intensive Programme di Busan Asian Film School (AFiS), Korea Selatan, pada November lepas.

    Sebagai penerima biasiswa program berkenaan, beliau merupakan wakil negara daripada 17 orang rakan produser dari negara lain seperti Malaysia, Indonesia, Filipina, India, Bangladesh, Taiwan, Myanmar, Vietnam, Kemboja, Singapura dan Jepun untuk mempelajari bidang penerbitan filem secara intensif selama 15 minggu.

    Jelas beliau, melalui program berkenaan banyak perkara baharu telah dialaminya sejak pertama kali menjejakkan kaki di Busan, Korea Selatan pada bulan Ogos lalu. Meskipun memiliki pengalaman yang banyak dalam bidang tersebut, beliau menjelaskan di sana beliau telah mendapat lebih banyak ilmu yang baharu.

    Tambahnya, beliau mengetahui secara lebih mendalam mengenai tugas sebagai seorang produser bagi pembuatan sebuah filem, pengembangan penceritaan, pengurusan belanjawan dan cara bekerjasama dengan co-production di luar negara.

    Berkongsi ketika pertama kali mendapat tahu bahawa dirinya terpilih untuk menerima biasiswa berkenaan, perasaan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT kerana diberi peluang ke atas dirinya yang sungguh di luar jangkaannya.

    Imelda semasa bergambar ramai bersama rakan seperjuangan lain.
    Pengarah Busan Film Commission dan AFiS, Kang Sung Kyu semasa menyampaikan sijil tamat pengajian kepada Imelda.
    Imelda menjalankan praktikal semasa melanjutkan pengajian di Busan.
    Imelda semasa meraikan kejayaannya di sana.
    Imelda semasa menghadiri Busan International Film Festival ke-27.

    “Allah memberikan rezeki yang tidak diduga. Setiap permohonan, persiapan, perjalanan dan pengajian di sana dilancarkan dan dirahmati Allah.

    “Harapan saya agar dapat mengongsikan apa yang dipelajari kepada mereka yang ing in tahu mengenai tugasan penerbitan filem. Proses penerbitan filem berbeza dengan pembuatan video biasa,” tambahnya.

    Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh beliau ialah tinggal bersama 16 rakan seperjuangan lain yang datang daripada latar belakang yang berbeza. Beliau sudah semestinya berasa teruja kerana dapat mempelajari budaya yang berbeza, menerima dengan hati yang terbuka, pelbagai perangai dan kerenah dari usia, budaya dan kepercayaan.

    Ketika ditanya antara cabaran lain dihadapi semasa menjalani program berkenaan, beliau berkongsi semua peserta program diarahkan untuk berkurung di tempat kediaman bagi mengelak Taufan Hinnamnor yang melanda Busan pada awal September lalu.

    “Pengalaman lain yang membuatkan saya lebih bersyukur tinggal di Negara Brunei Darussalam adalah terlindung dan terselamat daripada Taufan Hinnamnor. Semasa taufan itu melanda Busan, kami semua terpaksa diarahkan berkurung di bangunan kediaman kami mengikut ramalan jangka masa kedatangan taufan ke pesisiran Pantai Gwanggali, Busan.

    “Kemudian kami juga turut diuji lagi dengan empat rakan seperjuangan kami dijangkiti COVID selepas acara Busan International Film Festival,” tambahnya ketika berkongsi pengalaman semasa berada di Busan.

    Beliau turut berharap agar pihak-pihak tertentu di negara ini akan dapat menubuhkan persatuan perfileman Brunei agar industri perfileman tempatan berkembang dengan lebih teratur sambil membantu pembikin-pembikin dan pencinta filem tempatan.

    Selain itu beliau berharap dapat melihat industri perfileman Brunei berkembang maju sejajar dengan industri perfileman di luar negara, kerana jelasnya jika dilihat pada ketika ini ramai anak muda yang berbakat telah menampilkan diri, cuma mereka memerlukan sokongan dan dorongan daripada pihak-pihak yang tertentu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    24 maut lebuh raya runtuh di selatan China

    BEIJING, 1 MEI - Sekurang-kurangnya 24 orang maut selepas sebahagian lebuh raya runtuh akibat hujan lebat di wilayah Guangdong, selatan China hari ini, kata...