Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bertitah dari sudut ekonomi, unjuran pertumbuhan pada 2019 dijangka semakin lebih baik, namun kita tidak boleh leka atau cepat berpuas hati kerana di sana masih banyak cabaran untuk dihadapi.
“Antara yang menjadi perhatian utama kini ialah Revolusi Perindustrian Keempat atau Fourth Industrial Revolution.
“Adapun langkah berkesan ke arah ekonomi ialah penyertaan kita dalam rangkaian global untuk meningkatkan produktiviti dan peluang, dengan memastikan juga kita dapat memenuhi prasyarat piawaian dan peraturan, selain berupaya menyesuaikan diri dengan teknologi digital,” titah Baginda Sultan sempena Menyambut Tahun Baharu Masihi 2019 yang disiarkan di saluran radio dan televisyen seluruh negara, hari ini.
Baginda bertitah bahawa usaha itu memerlukan rakyat di negara ini untuk meningkatkan kerjasama dengan negara-negara lain iaitu dalam rangkaian ekonomi global, serta mengambil peluang yang sedia ada, termasuk di rantau ASEAN, di mana pasaran e-dagang ASEAN mempunyai potensi untuk meningkat dari AS$30 billion pada 2016 kepada AS$200 billion menjelang 2025.
Baginda Sultan juga menyentuh mengenai kemajuan teknologi hasil daripada Revolusi Perindustrian Keempat, yang akan mencabar kemahiran konvensional negara, di mana ia memerlukan peningkatan kemahiran yang ada dan pembelajaran sepanjang hayat.

Titah Baginda lagi, “Dari kesan ekonomi pada skop yang lebih luas, kita perlu menyediakan dasar-dasar yang bersesuaian untuk menjalin kerjasama serantau dan antarabangsa.
“Khusus dalam konteks hubungan dengan negara-negara rantau ASEAN, kita perlulah berusaha ke arah proses membangun Komuniti ASEAN itu sendiri, di mana dengan berbuat demikian, kita akan mampu untuk memastikan kejayaan bagi generasi masa kini dan akan datang.”
Baginda bertitah bahawa rantau ASEAN sedang bergerak pantas ke arah pertumbuhan ekonomi di mana ia dijangkakan menjadi kuasa keempat ekonomi terbesar dunia menjelang 2030.
“Maka ke arah itu, kita perlulah melipatgandakan lagi usaha memperkasa perdagangan intra-ASEAN. Langkah di dalam pula tidaklah kita abaikan. Kita akan terus bergerak ke hadapan untuk menemui sasaran, dalam makna, keperluan negara dan rakyat adalah diutamakan.
“Kita melihat ini dengan kaca mata yang jauh untuk jangka panjang. Misalnya apabila kita bercakap mengenai dengan ‘bumi hijau’, yang kita maksudkan ialah ke arah mencapai sara diri dari hasil pertanian,” titah Baginda Sultan.
Baginda menegaskan bahawa itulah sasaran atau matlamat yang ingin dituju, di mana ia akan dikekalkan sehingga berjaya.
Dalam hubungan itu, Baginda menekankan bagi pihak-pihak yang berkenaan di dalam kerajaan, hendaklah memahami perkara berkenaan tanpa ada lagi sebarang alasan untuk mengabaikannya.
“Kita mesti konsisten mara ke hadapan, bukan berundur ke belakang. Inilah namanya kita membangun dengan semangat juang. Ini amat penting bagi memastikan, bahawa bangsa tidak akan dipaliti oleh sindrom malas.”
Baginda bertitah, “Kemudian berikutnya yang lebih utama, kita tidak akan lari dari nilai-nilai luhur yang telah pun menjadi pegangan kita semenjak dari beratus tahun lagi. Nilai itu ialah konsep MIB.
“Akhirnya, bersukut dengan memasuki tahun baharu ini, Beta menyeru rakyat dan penduduk supaya menguatkan lagi azam dan usaha untuk menjadi masyarakat yang lebih proaktif, produktif dan berintegriti dalam menghadapi cabaran-cabaran mendatang.
“Beta juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat dalam Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan, dan sektor swasta, di atas usaha ikhlas mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing di sepanjang tahun 2018.
“Beta dan keluarga Beta juga tidak lupa merakamkan ucapan Selamat Tahun Baharu Masihi 2019 kepada seluruh rakyat dan penduduk, sama ada yang berada di dalam atau di luar negara. Semoga Allah SWT akan melimpahkan rahmatNya berupa keteguhan iman, kesihatan, keamanan, dan kemakmuran untuk semua. Amin.”