(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Bulan Ramadan merupakan bulan mudah untuk mengaut pahala kerana setiap amal ibadah yang dilakukan oleh seseorang dengan penuh keikhlasan di bulan ini dijanjikan oleh Allah SWT dengan pahala yang berlipat kali ganda.
Walau bagaimanapun pahala yang banyak di bulan Ramadan tidaklah terputus begitu sahaja dengan berlalunya bulan Ramadan. Seseorang yang menekuni bulan Ramadan dengan berpuasa penuh satu bulan akan dapat melanjutkan meraih keuntungan pahala apabila dia melaksanakan puasa enam di bulan Syawal.
Puasa enam di bulan Syawal ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari di bulan Syawal setelah selesai menjalankan kewajipan ibadah puasa di bulan Ramadan.
Fadilat berpuasa sunat enam
Seperti juga halnya dengan puasa-puasa sunat yang lain, berpuasa sunat enam di bulan Syawal juga mempunyai fadilat tertentu jika dilaksanakan setelah berpuasa di bulan Ramadan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Ayyub al-Anshari r.a. , Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal, (puasanya di bulan Ramadan dan enam hari di bulan Syawal itu) seperti berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis riwayat Muslim)
Dalam hadis tersebut dijelaskan mengenai ganjaran melaksanakan puasa Ramadan diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal adalah seperti berpuasa sepanjang tahun. Disebutkan bahawa seseorang yang melakukan satu kebaikan ganjarannya adalah sebanyak sepuluh pahala. Oleh yang demikian, puasa sebulan penuh di bulan Ramadan menyamai dengan sepuluh bulan iaitu kira-kira 300 hari, sementara puasa enam hari di bulan Syawal adalah menyamai dua bulan iaitu 60 hari dan ini menjadikan jumlah ganjaran pahala seperti pahala berpuasa setahun keseluruhannya atau dua belas bulan.
Perkara ini diperkuatkan lagi dengan hadis riwayat Tsauban r.a., Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Berpuasa sebulan (di bulan Ramadan itu menyamai) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal menyamai) dengan dua bulan berpuasa, maka yang demikian itu (apabila dicampurkan menjadi) genap setahun.”
(Hadis riwayat al-Baihaqi)
Persamaan di sini adalah dari segi perolehan pahala, iaitu seseorang itu akan mendapat pahala seperti pahala yang didapati-nya dari puasa fardu. Hasilnya orang yang mengerjakan puasa enam setelah mengerjakan puasa Ramadan adalah sama dengan pahala mengerjakan puasa fardu sebanyak setahun.
Cara mengerjakan puasa sunat enam
Puasa sunat enam harus dikerjakan secara berasingan atau berselang seli hari sepanjang bulan Syawal. Walau bagaimanapun afdal mengerjakannya secara berturut-turut selepas Hari Raya, iaitu mulai hari kedua ke-rana menyegerakan melaksanakan ibadat.
Bolehkah orang yang meninggalkan puasa Ramadan melakukan puasa enam?
Apabila disebut mengenai puasa enam di bulan Syawal dan kaitannya dengan berpuasa sebulan penuh di bulan Ramadan, timbul persoalan, adakah mereka yang tidak melaksanakan puasa penuh di bulan Ramadan sama ada kerana sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak atau tidak juga diharuskan berpuasa sunat enam?
Mereka yang meninggalkan puasa sama ada kerana keuzuran yang diharuskan syarak atau tidak, wajib mengqada puasa yang ditinggalkannya. Oleh itu, bagi orang yang tidak berpuasa sebulan penuh Ramadan dan ingin melakukan puasa enam hendaklah terlebih dahulu melihat sebab-sebab dia meninggalkan puasa tersebut. Penjelasannya seperti berikut:
Orang yang meninggalkannya dengan sengaja
Orang yang meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja wajib menyegerakan qada puasa dan haram melakukan puasa-puasa sunat termasuklah puasa enam kecuali setelah dia selesai mengqada puasanya.
Orang yang meninggalkan puasa disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syarak
Bagi orang yang tidak berpuasa Ramadan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syarak seperti haid dan nifas, musafir atau orang sakit adalah disunatkan berpuasa enam sekalipun mereka masih mempunyai qada.
Walau bagaimanapun ganjaran pahala puasa enam bagi orang yang tidak berpuasa penuh bulan Ramadan tidak sama dengan ganjaran pahala bagi orang yang mengerjakan puasa enam selepas mengerjakan puasa Ramadan sebulan penuh.
Cara berpuasa enam bagi orang yang tidak berpuasa Ramadan sebulan penuh kerana uzur syar‘ie
Terdapat beberapa cara boleh dilakukan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syarak dan tidak mahu terlepas peluang untuk melaksanakan puasa sunat enam, iaitu seperti berikut:
Melunaskan dahulu qada puasa Ramadan di bulan Syawal dan setelah selesai barulah melaksanakan puasa enam, atau mendahulukan puasa sunat enam hari di bulan Syawal dan seterusnya melaksanakan qada puasa sama ada di bulan Syawal atau pada bulan-bulan yang lain sebelum tibanya Ramadan akan datang.
Perkara ini dihukumkan makruh kerana melambatkan qada Ramadan. Walau bagaimanapun diberi pahala sunat kerana puasa sunat enam yang dilakukannya. Atau meniatkan puasa qada dan puasa sunat enam sekaligus.
Harus berniat bagi kedua-dua puasa iaitu puasa qada dan puasa sunat dengan tujuan bagi melaksanakan kedua-dua tuntutan itu. Dengan demikian terlaksanalah puasa qada dan mendapat ganjaran sunat kerana berpuasa enam.
Sebagai contoh seseorang itu boleh berniat: “Sahaja aku puasa esok hari mengqadha puasa Ramadan dan puasa sunat enam bulan Syawal kerana Allah Ta‘ala.”
Akan tetapi jika dia berniat hanya bagi puasa qada atau bagi puasa sunat enam sahaja, maka yang terlaksana adalah puasa yang diniatkannya itu.
Mengenai orang yang berniat puasa wajib bersama puasa sunat ini ada disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam fatwanya menjawab mengenai dengan seseorang yang berniat puasa sunat hari ‘Arafah dengan puasa fardu seperti qada Ramadan atau puasa nazar:
Ertinya: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan puasa wajib) dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.”