Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Orang ramai boleh mendapatkan tawaran istimewa bagi destinasi pelancongan yang diinginkan sambil berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah yang menarik, apabila Pesta Pelancongan Brunei membuka tirainya, selama dua hari pada 3 dan 4 Ogos nanti di pusat membeli-belah di Sungai Hanching.
Pesta pelancongan yang dinanti-nantikan oleh orang ramai anjuran Sabre Travel Network Brunei itu merupakan acara yang memberikan peluang kepada syarikat-syarikat penerbangan, pejabat-pejabat pelancongan, hotel dan ejen-ejen pelancongan, sebuah platform yang unik bagi mereka untuk mengetengahkan dan mempromosikan produk serta perkhidmatan mereka kepada para pelanggan dan pengunjung ke pesta pelancongan berkenaan.
“Setiap tahun, Sabre Brunei Travel Fair menyediakan pakej dan tawaran unik kepada pengunjung yang mencari percutian impian mereka, menjadikan ia satu acara yang amat dinanti-nantikan,” jelas Pengurus Kanan, Jualan dan Pemasaran, Sabre TN Brunei, Awang Abdul Halim Haji Abdul Rahman semasa sidang media mengenai Sabre Travel Network Brunei Travel Fair yang berlangsung di Hotel Mulia, hari ini.
Beliau menambah, pada 2018 pesta pelancongan itu telah menyaksikan lebih daripada 13,500 pengunjung ke acara selama dua hari di mana jumlah itu dijangka akan meningkat pada penganjuran pada kali ini dengan pemilihan lokasi baharu yang lebih menarik bagi para pengunjung untuk membeli-belah dan mendapatkan tawaran-tawaran pakej percutian yang terbaik.
Beliau turut mendedahkan bahawa acara itu telah mencatatkan peningkatan tempahan sebanyak 14 peratus pada 2018 jika dibandingkan dengan 2017 di mana peningkatan itu dipercayai disebabkan meningkatnya destinasi penerbangan yang baharu dengan lebih banyak destinasi menarik dan baharu untuk diterokai oleh para pelanggan.

“Kami percaya peningkatan itu akan dapat disaksikan juga pada pesta pelancongan tahun ini dengan inisiatif-inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh syarikat-syarikat penerbangan.”
Sementara itu, Pengurus Negara Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) – Brunei, Lim Guat Wen menyatakan bahawa semasa pesta pelancongan itu, RB akan menawarkan pelbagai tawaran penerbangan yang menarik dengan harga serta hadiah-hadiah menawan sepanjang pesta itu.
Beliau berkata bahawa mana-mana pelanggan yang membuat pembelian tiket penerbangan RB layak untuk memasuki acara cabutan bertuah di mana pelbagai hadiah menarik menanti mereka termasuk tiket-tiket penerbangan, Royal Skies miles dan barangan RB eksklusif untuk dimenangi dalam tujuh acara cabutan bertuah setiap hari.
Di samping itu, Lim berkata bahawa pihaknya juga menawarkan hadiah-hadiah menarik bagi program ganjaran pelanggan di mana tetamu mereka akan menerima barangan RB eksklusif yang terhad seperti tali bagasi dan sarung pelindung bagasi.
Selain daripada itu, RB juga menawarkan hadiah-hadiah cabutan bertuah utama yang menarik seperti tiket penerbangan RB ke London, Brisbane atau Melbourne dan Tokyo bersama dengan Kad Tunai Baiduri Mastercard yang diisikan dengan wang tunai berjumlah $900, $500 dan $300 tajaan Bank Baiduri bagi tiga hadiah utama daripada sembilan hadiah untuk dimenangi dalam cabutan bertuah utama yang diadakan.
Dalam hubungan itu, beliau menggalakkan semua pengunjung ke pesta pelancongan itu nanti untuk merebut peluang mendapatkan tawaran-tawaran pakej percutian menarik yang ditawarkan ke pelbagai destinasi penerbangan RB.
Beliau yakin dengan pengiktirafan Skytrax 4-Star airline yang diterima oleh syarikat penerbangan itu, baru-baru ini, tetamu-tetamu mereka akan menikmati pengalaman penerbangan yang sinonim dengan perkhidmatan terbaik RB.
Semasa pesta pelancongan itu, syarikat-syarikat pelancongan seperti Anthony Tours & Travel Agency, A-Taqwa Travel Tours, Century Travel centre, Dar El Ehsan Travel, Darussalam Holdings, Freme Travel Services, Grace Travel, J J Tour Services, Pan Bright Travel Services, Southern Cross Travel Agencies dan Straits Central Agencies akan menawarkan pelbagai pakej percutian yang menarik dan berbaloi.
Selain daripada penyertaan daripada syarikat-syarikat pelancongan, pesta itu juga akan menyaksikan penyertaan daripada Lembaga Kemajuan Pelancongan Brunei, Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia, Kementerian Pelancongan Republik Indonesia, Lembaga Pelancongan Sarawak, Lembaga Pelancongan Singapura dan Biro Pelancong Taiwan.
Turut menyertai pesta pelancongan itu ialah Bank Baiduri, Bank Islam Brunei Darussalam, Bank Standard Chartered, Takaful Brunei Am, Malaysia Healthcare Travel Council dan RB di mana para pengunjung boleh bertemu dan mendapatkan maklumat jika mereka memerlukan sebarang penerangan serta bantuan lanjut.