Sunday, July 13, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Red berkolaborasi dengan Ezad Lazim

    Peluang berkolaborasi dengan penyanyi bersuara lunak, Ezad Lazim menerusi single Celup bagaikan bulan jatuh ke riba buat penyanyi dan komposer muda, Red Rahimad, 21.

    Sudah tentu kesempatan berduet dengan vokalis kumpulan Exist itu sebagai rezeki. Malah, Red tidak kisah jika dilabel menumpang populariti Ezad memandangkan namanya masih belum dikenali.

    “Saya bertuah Ezad menerima tawaran berduet dengan saya menerusi single Celup. Tidak nafikan, Ezad seorang penyanyi yang baik dan memiliki vokal mantap.

    “Kami pernah bekerjasama menerusi karya yang tulis berjudul Cahaya yang dilancarkan pada Ramadan lalu.

    “Idea bekerjasama tercetus apabila mendengar Ezad menyanyikan single Celup ketika kami sedang berbual. Saya terus jatuh hati mendengar suaranya dan menawarkannya kerjasama,” katanya kepada media.

    Peluang penyanyi dan komposer muda, Red Rahimad (kanan) berkolaborasi dengan penyanyi bersuara lunak, Ezad Lazim menerusi single Celup bagaikan bulan jatuh ke riba. – Agensi

    Red atau nama sebenarnya, Muhammad Redha Rahimad berkata, dia juga tidak kisah sekiranya vokal Ezad lebih menyerlah berbanding dirinya.

    “Bagi saya, berkolaborasi dengan sesiapa sahaja pasti ada yang mempertikaikan. Saya pula anggap kolaborasi dengan Ezad sebagai rezeki terpijak.

    “Ia adalah kolaborasi kedua kami, jadi saya tidak kisah jika ada beranggapan Ezad ‘overshadow’ saya.

    “Siapa tahu menerusi kolaborasi ini orang akan tertanya-tanya siapa Red Rahimad. Secara tidak langsung, pasti ada yang akan mencari maklumat mengenai siapa komposer dan penulis lirik single Celup.

    “Jika sambutan pendengar baik, Alhamdulillah. Namun, seandainya ada kekurangan, bolehlah menegur saya.

    “Suara dan kritikan warganet ada kalanya membantu proses penambahbaikkan dalam penghasilan lagu.

    “Namun, saya meletakkan strategi dan memastikan pendengar ternanti-nantikan bahagian saya, bukan Ezad semata-mata,” katanya.

    Berkongsi lanjut mengenai single Celup, Red berkata, ia sudah disiapkan sejak Januari, tahun lalu dan mengambil masa lebih setahun untuk dilancarkan.

    “Saya merakamkan demo lagu ini sebelum bergabung dengan syarikat rakaman, COF Music. Proses rakaman dibuat selepas sambutan Aidilfitri, baru-baru ini.

    “Kiranya lebih setahun lagu ini tersimpan sebelum dapat dilancarkan. Rakaman antara saya dan Ezad dibuat secara berasingan.

    “Namun, saya turut hadir ke studio bagi memastikan melodi masih kekal ketika rakaman Ezad. Bagi saya, melodi asal lagu ini sudah sedap, Ezad pula membawanya dengan baik,” katanya.

    Single Celup mengetengahkan rentak ‘old school’ yang turut menyelitkan elemen irama muzik Melayu lama pada bahagian korus. 

    “Celup bermaksud tiruan atau palsu. Ia sebenarnya menyentuh mengenai sikap, tingkah laku, perilaku, perbuatan atau apa sahaja yang boleh dikaitkan dengan palsu, tiruan atau celup.

    “Tiada proses perubahan lirik sebelum rakaman dibuat dan saya juga suka menggunakan lirik bersahaja.

    “Single ini juga menyentuh beberapa isu pada masa kini. Misalnya hubungan dalam keluarga, alam pekerjaan dan sebagainya.

    “Karya ini tidak berkias atau menyindir sesiapa. Jadi, saya tidak ragu-ragu dengan lagu ini,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda