Red Devils belasah Blues

MANCHESTER, 12 OGOS – Dua gol menerusi Marcus Rashford membantu Manchester United membuka kempen Liga Perdana Inggeris dengan sempurna apabila membenam skuad bimbingan Frank Lampard, Chelsea 4-0 di Old Trafford awal pagi tadi.

Anak-anak buah Ole Gunnar Solskjaer yang mencari keputusan sempurna bagi memadam memori hitam musim lalu bermula langkah kanan apabila Rashford meletakkan mereka di depan pada minit ke-18 menerusi sepakan penalti.

Tiga lagi gol Red Devils diperoleh pada babak kedua masing-masing menerusi Anthony Martial pada minit ke-65, Rashford (m-67) dan pendatang baharu, Daniel James, sembilan minit sebelum tamat permainan.

“Kami mengambil risiko tetapi itulah cara di sini, anda perlu melakukannya, risiko dan ganjaran dan hari ini kami diberi ganjaran,” kata Solskjaer.

Harry Maguire dan Aaron Wan-Bissaka turut mempamer aksi memberangsangkan di benteng meskipun hanya membuat penampilan sulung.

Aksi Rashford ketika melakukan tendangan penalti untuk gol pertama pasukannya semasa menentang Chelsea di Old Trafford di Manchester awal pagi tadi. – AP

United membelanjakan 130 juta pound untuk membawa masuk kedua-dua pemain itu bagi menguatkan pertahanan mereka.

“Ini adalah permulaan yang baik untuk diri saya sendiri dan pasukan kami, kami sememangnya beruntung sedikit tetapi kami berdua memiliki kelebihan,” kata Maguire selepas aksi perlawanan pertamanya sebagai pemain pertahanan paling mahal di dunia.

Bagaimanapun apa yang menimbulkan persoalan adalah keputusan Chelsea melepaskan pertahanan berpengalaman, David Luiz kepada Arsenal.

Blues jelas berdepan kesukaran untuk menangani serangan balas United meskipun menguasai hantaran-hantaran bola. Pemilihan yang dilakukan Lampard juga dianggap berani apabila dia menaruh kepercayaan kepada pemain muda, Tammy Abraham dan Mason Mount untuk berada dalam kesebelasan utama manakala Christian Pulisic menunggu di bangku simpanan.

Chelsea bermula baik apabila melakukan beberapa percubaan bahaya, namun benteng rapuh jelas memberi kesan besar kepada kelab London itu. – AFP